
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Dunia hoki tanah air diselubungi duka dengan pemergian legenda negara, R. Ramakrishnan yang meninggal dunia hari ini pada usia 72 tahun.
- R. Ramakrishnan, legenda hoki negara, meninggal dunia pada usia 72 tahun selepas dipercayai mengalami serangan jantung.
- Beliau dikenang sebagai pemain terbaik Malaysia, pernah beraksi dalam tiga Piala Dunia dan dua Sukan Olimpik.
- Selepas bersara, Ramakrishnan terus menyumbang melalui latihan dan pembangunan pemain dalam pelbagai kategori umur.
Mendiang dipercayai mengalami serangan jantung dan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Damansara.
Menurut ahli keluarga, urusan pengebumian akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Bekas ketua jurulatih Speedy Tigers, Stephen Van Huizen yang mengenali mendiang sejak 1972 menyifatkan Ramakrishnan sebagai seorang insan merendah diri, berbudi pekerti tinggi dan sentiasa menghulurkan bantuan.
Beliau berkata, pemergian Ramakrishnan merupakan kehilangan besar kepada arena hoki negara kerana mendiang merupakan antara pemain terbaik yang pernah dimiliki Malaysia.
Menurutnya, mendiang pernah beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia, dua Sukan Olimpik, menjadi kapten Piala Dunia serta tersenarai dalam Asian All-Star.
Tambah beliau, selepas bersara, Ramakrishnan terus menyumbang kepada sukan hoki menerusi latihan membabitkan pelbagai kategori umur.
Sepanjang kariernya, Ramakrishnan pernah mengetuai skuad kebangsaan pada Piala Dunia 1978 selain beraksi dalam dua Sukan Olimpik pada 1972 dan 1976.
Mendiang turut menyertai tiga edisi Piala Dunia iaitu pada 1973, 1975 dan 1978, dua Sukan Asia pada 1974 dan 1978 serta empat temasya Sukan SEAP/SEA selain pelbagai kejohanan antarabangsa lain.