
GAZA, 15 Oktober – Empat orang maut dalam serangan Israel di Gaza pada Rabu, beberapa hari selepas ulang tahun pengisytiharan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS).
- Dua lelaki muda terbunuh apabila tentera Israel menyerang sebuah kenderaan berhampiran Khan Yunis.
- Dua lagi, termasuk seorang wanita, terkorban apabila pesawat Israel menyerang bangunan pangsapuri di Bandar Gaza.
- Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar meneruskan operasi menentang Hamas walaupun gencatan senjata berkuat kuasa.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Bassal dan Hospital Nasser memaklumkan, dua lelaki muda terbunuh apabila tentera Zionis menyerang sebuah kenderaan berhampiran Khan Yunis, di selatan Gaza.
Dua individu lain, termasuk seorang wanita pula terkorban apabila pesawat Israel menyerang sebuah bangunan pangsapuri di Gaza City, menurut Bassal dan Hospital Al-Shifa.
Tentera rejim belum mengeluarkan maklumat terperinci berhubung serangan berkenaan.
Pada Rabu, tentera Israel mendakwa pihaknya telah membunuh lebih 100 individu dalam tempoh empat bulan lalu menerusi operasi di utara Gaza, selain mendakwa memusnahkan kira-kira lapan kilometer terowong yang digunakan oleh pejuang Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang berdepan persaingan sengit dalam pilihan raya semula bulan ini berikrar untuk meneruskan operasi menyasarkan Hamas walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan besar-besaran Israel di Gaza yang tercetus pada Oktober 2023 mengorbankan lebih 74,300 orang. -AFP