EPL: Man City, Aston Villa tercicir mata

Manchester City kini mencatat tiga keputusan seri dalam lima aksi terakhir EPL, sementara Aston Villa merekodkan seri pertama selepas lima perlawanan/Foto REUTERS

LONDON, 8 Januari – Manchester City dan Aston Villa gagal merapatkan jurang terhadap pendahulu, Arsenal selepas seri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manchester City terikat 1-1 dengan Brighton, gagal menambah jaringan selepas peluang terhidang.
  • Erling Haaland mencapai gol ke-150 bersama City menerusi penalti.
  • Aston Villa seri 0-0 dengan Crystal Palace walaupun menguasai dan melepaskan 15 percubaan.
  • City dan Villa masing-masing mengumpul 43 mata, masih ketinggalan di belakang Arsenal.

City diikat Brighton 1-1, manakala Villa terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan menentang Crystal Palace.

Saingan di Stadium Etihad menyaksikan Erling Haaland meledak gol ke-150 bersama City menerusi penalti pada separuh masa pertama.

Kaoru Mitoma menyamakan kedudukan untuk Brighton selepas rehat.

Hasrat City untuk menambah gol tidak berhasil selepas mensia-siakan beberapa peluang terbaik antaranya menerusi pemain sayap Rayan Cherki pada minit ke-88.

City kini mengumpul 43 mata, lima mata di belakang Arsenal.

Arsenal boleh melebarkan jurang kepada lapan mata jika menewaskan Liverpool di laman sendiri pada aksi awal pagi Jumaat.

Sementara itu, Aston Villa pula sekadar seri 0-0 menentang Crystal Palace di tempat lawan.

Skuad kendalian Unai Emery gagal meledak jaringan walaupun lebih menguasai permainan dan mencipta 15 percubaan ke gawang lawan.

Villa kini menghuni tangga ketiga EPL dengan 43 mata, dipisahkan dengan Manchester City menerusi perbezaan jaringan.

Dalam perlawanan lain, Manchester United yang dikendalikan oleh Jurulatih interim, Darren Fletcher diikat Burnley 2-2 di tempat lawan.

Pemain gantian, Jaidon Anthony menyamakan kedudukan selepas United mendahului 2-1 menerusi jaringan penyerang utama, Benjamin Sesko.

Di Craven Cottage, Chelsea yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir 70 minit, tewas 1-2 kepada tuan rumah Fulham, sekali gus jatuh di kedudukan ke-8 di bawah United.