Datuk Latif, Ziyad sedia pertahan pingat emas

Penampilan pada Sukan Para Asia hadir dengan matlamat berganda

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Dua jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly dan Muhammad Ziyad Zolkefli menggalas misi besar bagi mempertahankan penguasaan pingat emas pada temasya Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Latif: persediaan mental dan fizikal 100 peratus, bebas kecederaan; sasaran pertahankan emas keempat dan memecah rekod temasya serta dunia.
  • Ziyad Zolkefli: fokus perhalusi teknik, mencegah kecederaan; berusaha tampil versi terbaik dan pertahankan pingat emas jika sihat.
  • Kedua atlet utamakan pencegahan kecederaan sebagai keutamaan, mengambil pendekatan berhati-hati menjelang kejohanan besar.

Bagi Datuk Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20, penampilan kali ini hadir dengan matlamat berganda untuk mempertahankan emas serta memperbaharui rekod temasya dan rekod dunia miliknya.

“Persediaan mental dan fizikal saya kini berada pada tahap 100 peratus dan bebas daripada sebarang kecederaan.

“Sasaran saya adalah bagi mempertahankan emas kali keempat, sekali gus memecahkan rekod temasya serta rekod dunia,”katanya pada sesi walkabout Ketua Kontinjen (CDM) di Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, jaguh lontar peluru negara, Ziyad Zolkefli berkata, edisi di Jepun, cukup sentimental kerana menandakan sedekad penglibatannya pada temasya Para Asia sejak mula beraksi pada edisi 2014.

“Menjelang temasya berprestij itu, tumpuan saya terarah kepada fasa memperhalusi teknik serta mengutamakan aspek pencegahan kecederaan.

“Sekarang fasa ‘menampal’ kesilapan-kesilapan kecil dan memastikan versi terbaik dan Insya-Allah, jika tiada kecederaan, sasaran saya adalah mempertahankan emas yang pernah dimenangi sebelum ini.

“Kecederaan adalah musuh utama atlet menjelang kejohanan besar. Jadi pendekatan saya sekarang adalah lebih berhati-hati,”jelas Ziyad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.