Belanjawan 2027: Belia Perlis harap peluasan akses digital, peluang kerjaya

Foto AFP

KANGAR, 7 Oktober – Akses digital lebih menyeluruh, bantuan kos pengajian dan sara hidup serta peluang kerjaya dengan gaji setimpal antara aspirasi Belanjawan 2027 yang disuarakan golongan belia termasuk mahasiswa di Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kurangkan jurang akses internet antara bandar dan luar bandar, tambah liputan 5G dan makmal digital untuk kesamarataan pelajar.
  • Sediakan bantuan pengangkutan dan subsidi bahan api bagi pelajar yang berulang-alik antara kolej kediaman dan fakulti.
  • Perkasakan latihan kemahiran dan sediakan laluan kerjaya yang menjanjikan gaji setimpal serta perkembangan pendapatan.

Sokongan itu penting bukan sahaja untuk meringankan beban semasa, malah membantu mereka membina masa depan lebih baik selepas tamat pengajian.

Muhammad Daniel Kashfullah M Khairullah berharap jurang akses internet antara pelajar di bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

“Pelajar di Sabah dan Sarawak pun mahukan liputan 5G, kemudahan seperti makmal digital juga perlu ditambah baik supaya semua pelajar mendapat akses yang sama,” katanya.

Bagi Muhammad Zaim Addin Azman pula, bantuan berkaitan pengangkutan dan bahan api wajar dipertimbangkan, khususnya bagi pelajar yang perlu berulang-alik antara kolej kediaman dan fakulti.

“Mungkin bantuan minyak untuk pelajar boleh ditambah kerana kebanyakan kolej kediaman kami jauh dari fakulti.

“Jadi, penggunaan minyak untuk berulang-alik memang agak tinggi,” katanya.

Siti Nur Ain Muhammad Zaiem pula berharap bantuan keperluan asas dan sokongan kewangan kepada pelajar dapat diperluas.

“Untuk Belanjawan 2027, saya harap kerajaan boleh beri bantuan dari segi makanan asas seperti biskut dan roti atau mungkin tambah elaun ketika masuk semester.

“Lebih-lebih lagi bagi kami pelajar tahun akhir yang banyak menggunakan wang untuk projek tahun akhir, mungkin boleh diberi sedikit bantuan untuk membeli bahan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perlis, Syahirunnisa Ramli berpendapat, perhatian sememangnya wajar diberikan terhadap usaha meningkatkan kemahiran dan menyediakan laluan kerjaya yang menawarkan pendapatan setimpal.

Menurut beliau, penetapan gaji tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kadar minimum, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan kemahiran dan produktiviti seseorang pekerja.

“Kita berharap bukan sahaja melihat kepada gaji minimum, tetapi juga perkembangan gaji yang lebih baik apabila seseorang mempunyai kemahiran teknikal lebih tinggi.

“Kita mahu anak-anak muda terus meningkatkan kemahiran supaya mereka mendapat gaji yang setimpal, dalam erti kata mudah, gaji yang bermaruah,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi bayangan kerajaan akan mengumumkan peruntukan khusus untuk golongan belia dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan mengambil kira keluhan dan permintaan belia termasuk berkaitan kos pendidikan serta keperluan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.