
PUTRAJAYA, 30 September – Syarikat teknologi aeroangkasa Amerika Syarikat, SpaceX menyumbangkan 50 unit kit Starlink dalam usaha menyokong usaha meningkatkan kesiapsiagaan bencana negara.
- Sumbangan kit Starlink diumumkan semasa kunjungan hormat delegasi SpaceX kepada Perdana Menteri di Putrajaya.
- Kerjasama memberi tumpuan memperluas capaian internet kepada penduduk kawasan pedalaman menerusi perkhidmatan satelit Starlink.
- Perdana Menteri tekankan manfaat teknologi perlu disertai keselamatan siber, perlindungan data dan penggunaan internet yang selamat.
- Kerajaan hargai peranan Starlink dalam JENDELA, liputan di Sabah, Sarawak dan penempatan Orang Asli; PoP Cyberjaya tingkatkan mutu perkhidmatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, sumbangan itu diumumkan ketika beliau menerima kunjungan hormat delegasi SpaceX di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas capaian internet kepada penduduk di kawasan pedalaman menerusi Starlink, perkhidmatan internet satelit kendalian SpaceX.
“Kemajuan teknologi mesti membawa manfaat yang nyata kepada rakyat. Seiring peluasan capaian internet, keselamatan siber, perlindungan data serta penggunaan internet yang selamat mesti terus diberi keutamaan,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha meluaskan liputan dan meningkatkan mutu capaian internet menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA), termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung.
Beliau turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya bagi melancarkan trafik data tempatan dan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan mahu memastikan masyarakat di kawasan pedalaman turut menikmati capaian internet yang berkualiti dan selamat, seiring dengan arus kemajuan teknologi negara.