Tan Sri Ayob Khan, Datuk Seri Shuhaily terajui Jawatankuasa Integriti FAM

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan pada sidang media selepas mesyuarat keenam jawatankuasa eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029 di Wisma FAM, hari ini / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 30 September – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029, dibantu Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai timbalan pengerusi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM membuat beberapa pelantikan jawatankuasa tetap di Wisma FAM.
  • Jawatankuasa Tetap diberi tujuh hari bekerja untuk menamakan anggota dan memulakan tugas peringkat jawatankuasa FAM.
  • Pengerusi dan timbalan dilantik bagi 11 jawatankuasa tetap untuk memastikan pengurusan serta pembangunan bola sepak digerakkan berkesan.
  • Datuk Noor Azman dikekalkan sebagai Setiausaha Agung sehingga akhir tahun depan; Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pelantikan itu antara keputusan Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

“Kita mahu mereka yang mempunyai kredibiliti untuk mentadbir jawatankuasa berkenaan dan memastikan pengurusan serta tadbir urus FAM dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Jawatankuasa Tetap diberi tempoh masa tujuh hari bekerja untuk mereka menamakan anggota masing-masing untuk memulakan tugas di peringkat jawatankuasa FAM ini,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pelantikan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM bagi memastikan setiap aspek pengurusan serta pembangunan bola sepak negara dapat digerakkan dengan berkesan.

Selain Jawatankuasa Integriti, FAM turut melantik individu berpengalaman dari luar Jawatankuasa Eksekutif bagi mengetuai Jawatankuasa Pengadil serta Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan, manakala DCP Datuk Mohd Rozi Jidin sebagai timbalan pengerusi.

Sementara itu, Datuk N. Saaran dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan.

Datuk Seri Rosmadi Ismail pula menerajui Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan.

Beliau turut mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM, manakala Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari FAM.

Menurutnya, kontrak Datuk Noor Azman masih berkuat kuasa sehingga akhir tahun depan, manakala pelantikan Datuk Ismail disambung bagi baki penggal kepimpinan FAM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.