Ops Pier 1.0 : 1,476 tahanan Myanmar dihantar pulang

Foto Kementerian Dalam Negeri

LUMUT, 29 September – Seramai 1,476 tahanan Myanmar dihantar pulang secara sukarela hari ini menerusi Ops Pier 1.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa pertama program penghantaran pulang berperingkat sehingga 5,000 tahanan Myanmar.
  • Program dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab dengan persetujuan serta pengesahan kerajaan Myanmar.
  • Operasi diselaraskan KDN, KLN, MKN, MINDEF dan TLDM, manakala Imigresen bertindak sebagai agensi operasi utama.
  • Penghantaran menggunakan kapal tentera laut Myanmar diiringi KD serta aset APMM, Pasukan Polis Marin dan tinjauan udara helikopter.

Operasi itu merupakan fasa pertama program penghantaran pulang keseluruhan 5,000 tahanan Myanmar secara berperingkat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Makhzan Mahyuddin berkata, kumpulan tahanan terbabit dibawa dari 14 depot tahanan imigresen di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 1,370 merupakan lelaki, (79) wanita, (20) kanak-kanak lelaki dan (7) kanak-kanak perempuan yang berusia antara lapan hingga 60 tahun.

Sebanyak 46 bas yang membawa tahanan itu, tiba secara berperingkat di Stadium Majlis Perbandaran Manjung seawal pukul 4.00 pagi bagi menjalani proses semakan sebelum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Menurut Datuk Makhzan, individu terbabit dikenal pasti kerajaan Myanmar sebelum senarai tersebut dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.

Beliau berkata, penghantaran pulang rakyat sesebuah negara tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan negara asal, terutama dalam urusan pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, penerimaan dan mekanisme penghantaran.

“Rundingan di peringkat kerajaan yang turut melibatkan Perdana Menteri telah membolehkan Malaysia dan Myanmar mencapai persetujuan bagi pelaksanaan penghantaran pulang sehingga 5,000 warga Myanmar secara berperingkat.

“Program ini dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bertanggungjawab berdasarkan prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar,” katanya pada sidang media di KD Sri Indera Sakti di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Makhzan Mahyuddin/ Foto KDN

Susulan persetujuan itu, operasi fasa pertama diselaraskan KDN bersama Kementerian Luar (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan TLDM.

Jabatan Imigresen Malaysia bertindak sebagai agensi operasi utama bagi proses pengesahan dan pemadanan individu, dokumentasi, keselamatan serta logistik.

Datuk Makhzan berkata, sebahagian pelarian terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, menyebabkan pengesahan perlu dilakukan Jabatan Imigresen bersama Kedutaan Myanmar dan pasukan negara itu sebelum dokumen perjalanan dikeluarkan.

Kerajaan Myanmar memberikan kerjasama penuh dalam proses berkenaan, selain menyediakan tiga kapal milik tentera laut negara itu bagi membawa kumpulan terbabit pulang.

UMS Moattama digunakan sebagai kapal utama bagi membawa tahanan, manakala UMS King Sin Phyu Shin bertindak sebagai kapal pengiring dan UMS Thanlwin sebagai kapal hospital.

Ketiga-tiga kapal itu akan diiringi KD Lekir dan KD Teguh Samudera sehingga ke satu titik yang dipersetujui di perairan Malaysia sebelum meneruskan perjalanan ke Myanmar.

Operasi pengiring turut membabitkan bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin, selain tinjauan udara menggunakan helikopter.

“Dalam operasi membabitkan kapal tentera laut sesebuah negara, TLDM akan mengiringi kapal berkenaan sepanjang berada di perairan Malaysia.

“Kita tidak membiarkan mereka bergerak bersendirian dan kapal berkenaan akan diiringi sehingga ke titik yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan persetujuan itu sebagai bukti keupayaan Malaysia menggunakan saluran diplomasi bagi menangani isu rentas sempadan.

Menurutnya, ia turut memperlihatkan peranan Kepusatan ASEAN dalam menghasilkan penyelesaian serantau oleh negara-negara rantau itu sendiri atau ‘regional solution for regional problem’.

Beliau berkata, kejayaan itu mengukuhkan peranan Malaysia dalam memacu diplomasi keamanan serantau, khususnya dalam menangani isu keselamatan dan kemanusiaan berkaitan Myanmar.

Selepas Ops Pier 1.0 selesai, Jabatan Imigresen akan mengesahkan hasil pelaksanaannya, manakala KDN akan menilai aspek dokumentasi, keselamatan, logistik dan penyelarasan antara agensi.

Menurut Datuk Makhzan berkata, tarikh serta jumlah bagi fasa berikutnya belum ditetapkan dan bergantung kepada proses pengesahan individu, kesiapsiagaan operasi serta penyelarasan lanjut dengan kerajaan Myanmar.

Bagaimanapun, kedua-dua negara telah bersetuju supaya penghantaran pulang melibatkan keseluruhan 5,000 tahanan Myanmar itu diselesaikan secara berperingkat.

Penghantaran pulang ini adalah langkah besar dan awal Kerajaan MADANI untuk selesaikan masalah yang menjadi kebimbangan rakyat, iaitu kebanjiran pelarian dan pendatang asing di Malaysia.

Kerajaan MADANI menggunakan solusi diplomasi dan menyelesaikannya secara tegas, tersusun dan berperingkat, berlandaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.