
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Abang kepada pegawai bomba yang masih gagal dihubungi di Nepal, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, akan menyertai misi bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara itu susulan bencana yang melanda Rasuwa, Nepal.
- Abang mangsa hilang menyertai misi penyelamat ke Nepal sebagai anggota pasukan untuk membantu mangsa dan mencari perkembangan adiknya.
- Beliau membawa harapan keluarga serta menyumbang tenaga dan kepakaran dalam usaha membantu mangsa bencana.
- Anak mangsa, Muhammad Firas, yakin kerajaan sedang berusaha mencari semua rakyat Malaysia termasuk bapanya yang masih hilang.
- Beberapa waris hadir taklimat di Wisma Putra; Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara memberi penerangan tentang usaha pencarian.
Mohd Saiful Munir Mohd Isa, 46, berkata beliau akan menyertai misi berkenaan sebagai anggota pasukan penyelamat, selain membawa harapan keluarga untuk mendapatkan perkembangan mengenai keadaan adiknya.
Beliau berkata peluang untuk memasuki Nepal itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menyumbang tenaga dan kepakaran dalam usaha membantu mangsa bencana, di samping mendapatkan perkembangan mengenai adiknya
“Terima kasih kepada kerajaan atas usaha ini. Saya sendiri sebagai sebahagian daripada pasukan penyelamat, tetapi dalam masa yang sama, saya juga mempunyai darah daging dengan mangsa hilang di sana.
“Ini satu perkara yang baik untuk kita kerana kita berpeluang masuk ke negara tersebut bagi menyampaikan sendiri semangat dan bantuan buat mereka di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi pertemuan bersama wakil Wisma Putra di sini hari ini.
Dalam pada itu, anak kepada mangsa hilang, Muhammad Firas, 24, berkata beliau dan keluarganya yakin dengan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan Malaysia untuk memastikan semua rakyat Malaysia, termasuk bapanya, Shahbuddin Mun, 62, yang masih hilang, dapat ditemukan.
“Baguslah, ini satu perkara yang baik. Sekurang-kurangnya pihak kementerian bertindak dan melakukan sesuatu buat kami, waris kepada mangsa hilang di sana,” katanya.
Terdahulu, beberapa waris terdekat kepada rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir di Nepal telah hadir ke Wisma Putra bagi menghadiri taklimat tertutup oleh Kementerian Luar.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira pukul 11.00 pagi itu diadakan bagi membolehkan pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara memberikan penerangan serta taklimat lebih jelas berhubung status dan usaha pencarian ahli keluarga mereka di kawasan bencana.