
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Mahkamah Sesyen menetapkan wang jaminan RM300,000 terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, tanpa mengenakan sebarang syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport.
- Pendakwaan mencadangkan jaminan RM500,000 dan syarat penyerahan pasport kerana status bekas perdana menteri serta rangkaian antarabangsa.
- Peguam bantah jumlah jaminan itu, menegaskan ia bukan bentuk hukuman tetapi untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.
- Peguam juga nyatakan tertuduh tidak pernah gagal menghadiri panggilan SPRM, oleh itu tiada keperluan menyerahkan pasport.
- Mahkamah menolak permohonan pendakwaan kerana tiada bukti kecenderungan melarikan diri; seorang penjamin keluarga ditetapkan, sebutan semula 29 September.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan mencadangkan wang jaminan RM500,000 serta syarat tambahan supaya Datuk Seri Ismail Sabri menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Menerusi hujahannya, pihak pendakwaan berkata jumlah jaminan itu wajar mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai bekas Perdana Menteri serta jaringan luasnya di peringkat antarabangsa, selain bagi memastikan kehadirannya pada setiap prosiding mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Datuk Seri Ismail Sabri membantah jumlah jaminan yang dicadangkan itu dengan menegaskan bahawa wang jaminan tidak seharusnya bersifat sebagai satu bentuk hukuman.
Beliau menegaskan, tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan bukannya sebagai suatu bentuk hukuman sebelum kes diputuskan.
Menurut Datuk Amer Hamzah, anak guamnya tidak pernah gagal menghadiri mana-mana panggilan atau temu janji yang ditetapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan dijalankan.
Sehubungan itu, beliau turut berhujah bahawa tiada keperluan untuk Datuk Seri Ismail Sabri menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menolak permohonan pihak pendakwaan supaya pasport tertuduh diserahkan, selepas berpandangan tiada bukti menunjukkan bekas perdana menteri itu mempunyai kecenderungan untuk melarikan diri atau mengelak daripada menghadiri prosiding mahkamah.
Hakim Suzana Hussin menetapkan wang jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin yang terdiri daripada ahli keluarga dan tidak mengenakan sebarang syarat tambahan.
Mahkamah turut menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas.