Ismail Sabri mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, termasuk wang tunai RM14.7 juta, jutaan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Ismail Sabri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
  • Dituduh memberi pernyataan bertulis yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 bertarikh 7 Jan 2025.
  • Notis diserahkan pada 10 Jan 2025 dan beliau didakwa gagal mengisytiharkan harta seperti yang diminta.
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda sehingga RM100,000 jika sabit.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Datuk Seri Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar oleh seorang pegawai SPRM kepada beliau pada 10 Januari 2025, namun bekas perdana menteri itu didakwa tidak mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki.

Antara harta yang disenaraikan ialah wang tunai berjumlah RM4.77 juta, AS$1.46 juta, tiga juta franc Swiss, 12.16 juta euro, 363 juta yen Jepun dan 34.75 juta dirham Emiriah Arab Bersatu.

Turut disenaraikan lima ketul jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu, seketul jongkong perak seberat 100 gram serta sekeping syiling emas seberat lima gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No. 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Datuk Seri Ismail Sabri diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.