Noor Hirzie Fariez unggul, Selangor raih emas angkat berat 79kg

Foto RTM

KAJANG, 18 Ogos – Keyakinan tinggi Noor Hirzie Fariez Mustafa membuahkan hasil apabila atlet Selangor itu meraih pingat emas acara angkat berat lelaki 79 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berjaya mengangkat 175kg dan memperbaharui rekod peribadi dalam acara angkat berat.
  • Kejayaan disifatkan hasil kepercayaan jurulatih, latihan konsisten dan kepatuhan kepada perancangan jurulatih.
  • Menganggap ini penampilan terakhir di temasya tetapi masih berhasrat sertai skuad kebangsaan.
  • Terlibat dalam angkat berat secara tidak sengaja untuk bina badan dan terinspirasi oleh Liu Venny.

Kejayaan itu diraih selepas Noor Hirzie berjaya mengangkat beban seberat 175kg untuk muncul juara.

Lebih membanggakan, catatan berkenaan turut menyaksikan atlet berkenaan memperbaharui rekod peribadinya dalam acara tersebut.

Noor Hirzie berkata kejayaan itu hadir hasil kepercayaan barisan jurulatih serta latihan konsisten yang dilaluinya sepanjang persiapan menghadapi temasya.

Katanya, beliau hanya melaksanakan perancangan yang ditetapkan jurulatih dan memberikan fokus sepenuhnya ketika berada di pentas pertandingan.

“Jurulatih buat kerja jurulatih, kami buat kerja kami. Jadi apa yang jurulatih letak, kami langgar saja. Dapat atau tidak, itu cerita kemudian,” katanya kepada media di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), hari ini.

Beliau mengakui pada awalnya menyasarkan untuk memperbaharui rekod peribadi, namun percubaan terakhir sedikit terjejas selepas keadaan fizikalnya mula menurun.

Bagaimanapun, pencapaian 175kg itu tetap dianggap membanggakan kerana berjaya memperbaiki catatan terbaiknya sebelum ini.

Menariknya, penglibatan Noor Hirzie dalam sukan angkat berat bermula secara tidak sengaja apabila beliau pada awalnya hanya berminat untuk membina badan.

Minat itu mula berkembang selepas diperkenalkan kepada sukan berkenaan oleh saudara sebelum akhirnya membawa beliau mewakili Selangor di pentas SUKMA.

Noor Hirzie menyifatkan SUKMA Selangor 2026 sebagai penampilan terakhirnya di temasya berkenaan, namun masih menyimpan hasrat meneruskan karier sekiranya diberi peluang menyertai skuad kebangsaan.

Beliau turut menjadikan jaguh angkat berat antarabangsa, Liu Venny, sebagai antara sumber inspirasinya, terutama kerana gaya persembahan yang agresif dan berani ketika bertanding.

Mengimbas saingan hari ini, Noor Hirzie turut meluahkan rasa teruja apabila dimaklumkan keberadaannya disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, pasukan, penyokong serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sehingga kejayaan itu direalisasikan.

Kejayaan tersebut sekali gus menyemarakkan hasrat Noor Hirzie untuk terus mengembangkan karier dalam sukan angkat berat, termasuk memburu peluang menyarung jersi skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.