Harimau Malaya bidik kebangkitan 2014 di Hanoi

Foto RTM

HANOI, 18 Ogos – Harimau Malaya menjadikan kebangkitan bersejarah ke atas Vietnam pada 2014 sebagai pembakar semangat dalam usaha mencipta kejutan pada aksi timbal balik separuh akhir Piala ASEAN 2026 di Stadium My Dinh, Hanoi, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih berkata walaupun skuad dan barisan kejurulatihan kini berlainan, kejayaan lalu boleh menjadi sumber keyakinan.
  • Cheng Hoe akui Vietnam miliki kelebihan beraksi di laman sendiri tetapi pemain sedia menghadapi tekanan.
  • Beliau menggesa pemain kekal tenang, berdisiplin dan percaya kepada kemampuan pasukan sepanjang 90 minit.
  • Pertahanan Ahmad Aysar menyeru rakan sepasukan terus optimis, peluang untuk bangkit masih terbuka.

Ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe berkata, kemenangan 4-2 ke atas Vietnam di Hanoi pada 2014 mampu menjadi suntikan motivasi buat skuad negara dalam misi memburu kebangkitan selepas tewas 0-2 pada aksi pertama.

Menurutnya, meskipun skuad dan barisan kejurulatihan kini sudah berbeza, pencapaian bersejarah itu tetap boleh dijadikan sumber keyakinan untuk menghadapi cabaran di Hanoi.

“Keputusan pada 2014 di bawah kendalian jurulatih Dollah Salleh memang hebat. Malaysia tewas 1-2 pada perlawanan pertama sebelum bangkit menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi.

“Sudah tentu keputusan itu memberikan kami keyakinan. Namun, selepas 12 tahun, pemain dan jurulatih sudah silih berganti. Tetapi kami mahu menjadikan pencapaian itu sebagai motivasi,” katanya pada sidang media praperlawanan di Hanoi.

Cheng Hoe mengakui Vietnam memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, namun percaya pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi tekanan dan cabaran dalam perlawanan penting berkenaan.

Beliau turut menggesa anak buahnya supaya kekal tenang, berdisiplin serta percaya kepada kemampuan pasukan sepanjang 90 minit permainan.

Sementara itu, pertahanan kebangsaan, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri percaya peluang untuk Harimau Malaya bangkit masih terbuka, sekali gus menyeru rakan sepasukan agar terus optimis.

“Kami tahu Vietnam mempunyai kelebihan 2-0, tetapi saya fikir apa sahaja boleh berlaku. Kami kekal optimis dan yakin, namun tetap menghormati semua pemain Vietnam.

“Kami akan cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Malaysia sebelum ini mencipta kebangkitan 4-2 ke atas Vietnam di Hanoi pada 2014 untuk mara ke final dengan kemenangan agregat 5-4.

Bagaimanapun, Harimau Malaya tewas kepada Thailand pada final menerusi agregat 3-4.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand menewaskan Singapura 3-1 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu, sebelum kedua-dua pasukan bertemu pada aksi timbal balik di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.