
PUCHONG, 18 Ogos – Pulau Pinang terus mengukuhkan status sebagai antara kuasa besar sepak takraw apabila mempertahankan pingat emas regu berpasukan buat kali kedua berturut-turut pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Pulau Pinang menewaskan Johor 2-1 dalam perlawanan regu berpasukan.
- Johor memenangi regu pertama melalui Isma Hanif, Farez Nazrel dan Hakkimi Shahrin.
- Pulau Pinang membalas dengan kemenangan regu kedua oleh Irzan Nazri, Imran Fazli dan Adi Syazmin.
- Regu ketiga menyaksikan Pulau Pinang tewas set pertama tetapi menang dua set untuk menutup perlawanan.
Saingan yang berlangsung di Arena MBSJ Puchong hari ini menyaksikan Pulau Pinang menewaskan Johor 2-1 untuk sekali lagi membawa pulang emas acara berkenaan.
Johor terlebih dahulu meraih mata menerusi regu pertama yang dibarisi Isma Hanif, Farez Nazrel dan Hakkimi Shahrin selepas menewaskan regu Pulau Pinang, Danial Iman Hasbullah, Nabil Afiq dan Nazirul Haziq Zahid, 17-14, 15-11.
Pulau Pinang bagaimanapun bangkit menerusi regu kedua yang dibarisi Irzan Nazri, Imran Fazli dan Adi Syazmin untuk menewaskan Muhammad Nurizuan, Hazieq Saad dan Luqman Haqim, 15-10, 15-5.
Keputusan itu menyaksikan penentuan pingat emas terpaksa ditentukan menerusi regu ketiga.
Johor bermula baik apabila Hazreez Haikal, Muhammad Qayum dan Nurdanish Irfan meraih kemenangan 15-9 pada set pertama.
Namun, Pulau Pinang bangkit menerusi Hazieq Damian, Elffie Danish dan Hamzi Hazry untuk menang 15-10 pada set kedua sebelum mengesahkan emas selepas menutup set penentuan 15-6.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan emas regu berpasukan sepak takraw kekal menjadi milik Pulau Pinang untuk edisi kedua berturut-turut.