SUKMA Selangor: Emas beregu wanita tenpin boling milik Selangor

Foto RTM

PETALING JAYA, 18 Ogos – Selangor memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila meraih pingat emas acara beregu wanita tenpin boling pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan mengumpul 2,489 jatuhan pin dalam enam set untuk muncul juara.
  • Pasangan Wilayah Persekutuan Zara Deliza dan Balqis Nurdini meraih perak dengan 2,442 jatuhan pin.
  • Nur Laila Atikah Noor Azhar dan Nur Damia Adliena Masrey menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 2,396 jatuhan pin.
  • Selangor bangkit lewat melalui balingan terakhir, kekal di depan; pemain puji komunikasi pasukan dan nasihat jurulatih memperbaiki corak permainan.

Gandingan Adelia Nur Irwan Syazalee dan Adania Mohd Redzwan mengumpul keseluruhan 2,489 jatuhan pin selepas mengharungi enam set permainan untuk muncul juara.

Pingat perak menjadi milik Wilayah Persekutuan menerusi gandingan Zara Deliza Mohd Kamarul Azizi dan Balqis Nurdini Khairuli dengan 2,442 jatuhan pin, manakala gangsa diraih pasangan Nur Laila Atikah Noor Azhar dan Nur Damia Adliena Masrey yang mengumpul 2,396 jatuhan pin.

Wilayah Persekutuan pada awalnya menguasai kedudukan teratas sebelum Selangor melakukan kebangkitan menerusi balingan terakhir untuk memintas pencabar berkenaan.

Gandingan tuan rumah kemudian berjaya mengekalkan kelebihan sehingga tamat saingan sekali gus mengesahkan emas buat Selangor.

Adelia berkata mereka berdepan sedikit kesukaran pada awal pertandingan sehingga kehilangan momentum, namun perbincangan bersama pasangan dan jurulatih membantu mereka kembali kepada rentak permainan.

“Alhamdulillah kami dapat pingat emas untuk Selangor. Pada mulanya saya rasa kami berdua hilang sedikit momentum disebabkan apa yang berlaku pada awal permainan.

“Tetapi kami berbincang sesama sendiri dan berkomunikasi dengan jurulatih. Jadi kami kembali kepada rentak kami,” katanya ketika ditemui media selepas tamat acara di Sunway Mega Lanes.

Sementara itu, Adania berkata pengalaman hampir meraih pingat perak dalam acara individu wanita semalam menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih baik dalam saingan beregu.

Menurutnya, jurulatih memaklumkan aspek teknikal permainannya sudah berada pada tahap baik, namun corak permainan perlu diperbaiki.

Nasihat berkenaan membantu Adania menyusun strategi dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan Selangor menamatkan saingan di kedudukan teratas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.