KDNK 6.0 peratus bukti asas ekonomi Malaysia kekal kukuh – Pakar

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua 2026 membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Struktur ekonomi yang pelbagai serta permintaan domestik berdaya tahan menyokong prestasi ekonomi negara.
  • Sektor pembuatan menunjukkan perkembangan positif, didorong permintaan semikonduktor, pusat data, peralatan pemprosesan data dan AI.
  • Aliran masuk pelaburan langsung asing dan perjanjian FDI memperkukuh pelaburan dalam pusat data, pendigitalan serta semikonduktor.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, prestasi yang melebihi jangkaan itu disokong struktur ekonomi negara yang pelbagai serta permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.

“Sektor pembuatan turut menunjukkan perkembangan positif, didorong permintaan terhadap semikonduktor, peralatan pemprosesan data dan kecerdasan buatan (AI).

Di samping itu, aliran masuk pelaburan juga mula menunjukkan kesannya yang turut didorong beberapa perjanjian pelaburan langsung asing (FDI) antara beberapa negara dan syarikat besar, terutamanya dalam bidang pusat data, pendigitalan dan semikonduktor,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, prestasi ekonomi pada separuh pertama 2026 yang mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus mampu menjadi penampan kepada ekonomi negara untuk terus berkembang positif pada separuh kedua tahun ini.

Mengulas prospek ekonomi bagi tempoh berbaki 2026, beliau menjangkakan sektor pelancongan, pembuatan dan eksport akan terus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Suku ketiga dan keempat lazimnya menjadi tempoh yang lebih rancak susulan peningkatan permintaan domestik, selain pelaburan asing dan tempatan yang dijangka terus mengukuh.

“Pelabur juga akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap insentif serta langkah rangsangan yang bakal diumumkan menjelang pembentangan Belanjawan pada Oktober ini,” katanya.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan ekonomi negara berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.

Pertumbuhan itu menjadikan ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus bagi tempoh separuh pertama 2026, berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.