
ALOR SETAR, 25 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara aktiviti mandi manda di kawasan air terjun atau sungai atas faktor keselamatan.
- Hujan kerap meningkatkan risiko kepala air dan kejadian berbahaya di sungai serta air terjun; berhati-hati terutama selepas hujan lebat.
- Sebanyak 39 lokasi di Kedah dikenal pasti berisiko kepala air; Baling rekod tertinggi sembilan lokasi akibat muka bumi berbukit.
- Kejadian kepala air di Sungai Sedim (17 Julai) meragut tiga nyawa; MetMalaysia ramal hujan dan ribut petir, dinasihatkan berjaga.
Ia berikutan kekerapan hujan yang turun sejak beberapa hari lalu yang boleh menyebabkan berlakunya kejadian kepala air.
Sebelum ini, Pengarah JBPM Negeri, Awang Hidzel Awang Bujang memaklumkan, sebanyak 39 lokasi berisiko kepala air dikenal pasti di Kedah.
Antaranya Sungai Sedim; Hutan Lipur Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya di Kuala Nerang; Air Terjun Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun di Langkawi serta Air Terjun Bukit Hijau, Air Panas Ulu Legong, Lata Celak Simpoi dan Lubuk Badak di Baling; Lata Mengkuang, Sik; Air Terjun Lubuk Semilang; dan Lubuk Kawah.
Daerah Baling merekodkan bilangan tertinggi iaitu sembilan lokasi berikutan bentuk muka bumi yang berbukit, mempunyai gunung, jeram, air terjun dan sungai yang terdedah kepada fenomena berkenaan terutama ketika hujan lebat di kawasan hulu.
Terbaharu, kejadian kepala air berlaku di Sungai Sedim pada 17 Julai lalu telah meragut nyawa tiga sekeluarga.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan di Kedah dijangka mengalami hujan dan ribut petir terutama pada waktu pagi dan petang bermula hari ini hingga Selasa depan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika ribut petir serta berhati-hati di kawasan berisiko berlaku banjir kilat, kepala air dan tanah runtuh khususnya berhampiran sungai serta kawasan berbukit.