
PERMATANG PAUH, 25 Julai – Sebanyak RM5 juta peruntukan awal disalurkan bagi memperkukuh penyertaan bumiputera dalam industri semikonduktor negara.
- Memperkukuh penyertaan bumiputera dalam industri semikonduktor dan meningkatkan penglibatan dalam rantaian bekalan teknologi tinggi.
- Dana permulaan bertujuan membangunkan kerangka kerjasama strategik antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri.
- Inisiatif bukan untuk menggantikan syarikat besar sebaliknya memberi peluang kepada lebih banyak syarikat bumiputera menyertai rantaian bekalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sekali gus mampu meningkatkan penglibatan golongan berkenaan dalam rantaian bekalan sektor berteknologi tinggi.
“Dana tersebut merupakan langkah permulaan bagi membangunkan kerangka kerjasama strategik melibatkan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif itu bukan bertujuan mengambil alih kedudukan syarikat besar sedia ada, sebaliknya memastikan lebih banyak syarikat bumiputera mampu menyertai
rantaian bekalan industri semikonduktor.
“Peruntukan ini bukan menggantikan syarikat-syarikat besar yang sedia ada. Mustahil. Tetapi kita boleh bertapak dan memberikan rantaian bekalan kepada keperluan syarikat bumiputera,” jelas Datuk Seri Anwar ketika berucap merasmikan Penang International Halal Expo (PIHEX) & Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang Program Madani Kita di Politeknik Seberang Perai.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.