
MADRID, 4 Oktober – Penolakan langkah bantuan kepada penyewa mencetuskan gelombang bantahan di Sepanyol apabila puluhan ribu rakyat turun ke jalan raya menuntut perumahan yang lebih mampu milik.
- Demonstrasi tercetus susulan krisis perumahan, termasuk pengusiran pesara 87 tahun Maricarmen Abascal.
- Kerajaan cadang pembaharuan automatik kontrak sewa dan sekatan pengusiran bagi golongan rentan, namun cadangan itu ditolak.
- Penolakan menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan kerajaan minoriti Pedro Sanchez hingga pilihan raya 2027.
- Protes melibatkan khemah di Madrid, perhimpunan di bandar lain, beberapa tangkapan dan cubaan kumpulan kanan dihalang polis.
Demonstrasi itu tercetus susulan krisis perumahan yang semakin meruncing, termasuk pengusiran seorang pesara berusia 87 tahun, Maricarmen Abascal, dari kediamannya di Madrid bulan lalu.
Langkah dicadangkan kerajaan Perdana Menteri, Pedro Sanchez termasuk pembaharuan automatik kontrak sewaan serta sekatan terhadap pengusiran penyewa daripada golongan rentan, namun ditolak parti pembangkang dalam pengundian pada Jumaat.
Penolakan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kelangsungan kerajaan minoriti Sanchez sehingga pilihan raya umum yang dijadualkan pada 2027.
Di Madrid, ratusan penunjuk perasaan mendirikan khemah di tengah bandar sejak seminggu lalu bagi mendesak pembaharuan sektor perumahan.
Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 70,000 orang menyertai perhimpunan di ibu negara, manakala penganjur mendakwa jumlahnya mencecah 500,000 orang.
Demonstrasi lebih kecil turut diadakan di Palma de Mallorca, Santander, Segovia dan Toledo, manakala lima individu ditahan di Valencia selepas berlaku pertembungan dengan polis, menurut laporan media tempatan.
Pada Sabtu malam, kumpulan penunjuk perasaan berhaluan kanan turut cuba menghampiri kem protes di Madrid sebelum dihalang polis.
Kesatuan Penyewa yang menganjurkan demonstrasi itu turut mengulangi gesaan supaya mogok umum diadakan bagi memberi tekanan terhadap isu kenaikan kos sewaan dan kekurangan perumahan mampu milik.-AFP