Piala Dunia: Kepulangan skuad Sepanyol disambut meriah

Foto AFP

MADRID, 20 Julai – Skuad bola sepak kebangsaan Sepanyol yang baru dinobatkan sebagai juara Piala Dunia selamat mendarat di Lapangan Terbang Madrid-Barajas hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Luis de la Fuente menjadi individu pertama turun dari pesawat, diikuti Rodri yang menjulang trofi Piala Dunia di tangga pesawat.
  • Skuad akan menghadap Raja Felipe VI di Istana Zarzuela, kemudian diraikan Perdana Menteri Pedro Sanchez di perkarangan Istana Moncloa.
  • Perarakan bas berbumbung terbuka melalui pusat bandar, upacara di Dataran Cibeles dan kira-kira satu juta peminat dijangka hadir.

Kepulangan wira La Roja itu disambut megah dengan kibaran bendera kebangsaan dari tingkap kokpit pesawat sebaik sahaja ia mendarat pada pukul 2.30 petang waktu tempatan.

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menjadi individu pertama yang melangkah keluar dari pintu pesawat, disusuli oleh pemenang anugerah pemain terbaik kejohanan, Rodri, yang kemudiannya menjulang tinggi trofi Piala Dunia di atas tangga pesawat.

Mengikut jadual rasmi, skuad berkenaan akan terus bergerak ke Istana Zarzuela untuk menghadap Raja Felipe VI, sebelum diraikan oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez dalam satu majlis sambutan di perkarangan Istana Moncloa.

Kemuncak bagi acara sambutan itu bakal menyaksikan kesemua pemain serta barisan pegawai kejurulatihan dibawa berarak menaiki bas berbumbung terbuka melalui kawasan pusat bandar raya sebelum berakhir dengan upacara rasmi di Dataran Cibeles.

Pihak berkuasa tempatan menganggarkan kira-kira satu juta peminat akan membanjiri jalan-jalan utama di sekitar ibu negara Sepanyol bagi memberikan penghormatan serta menyambut kepulangan wira-wira sukan mereka.

Skuad Sepanyol dinobatkan selaku juara Piala Dunia 2026 selepas menumpaskan Argentina 1-0 pada perlawanan akhir pada Isnin. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.