
SINTOK, 20 Julai 2026 -Universiti Utara Malaysia (UUM) merancang penganjuran Kejohanan Golf Universiti Peringkat ASEAN yang bakal menghimpunkan atlet golf institusi pengajian tinggi dari seluruh Asia Tenggara.
- Kejohanan anjuran AGN dijadual di Kelab Golf Sultan Sallehuddin pada pertengahan tahun hadapan.
- Tujuan penganjuran ialah memperkasa atlet golf yang kekurangan kejohanan kerana FISU dianjurkan setiap dua tahun.
- UUM akan menghantar dua pasukan seramai lapan atlet ke Bangkok 2026 FISU World University Championship Golf.
- Dr Ahmad memohon peruntukan tambahan KPT untuk bina semula pusat latihan intensif dan sedia peralatan canggih berasaskan AI.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kejohanan anjuran Akademi Golf Nasional (AGN) UUM itu dijadualkan berlangsung di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, disini pada pertengahan tahun hadapan.
Jelas beliau, penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan memperkasa kejohanan buat atlet golf yang kekurangan kejohanan berikutan berikutan kejohanan FISU World University Championship Golf yang hanya diadakan dua tahun sekali.
“UUM akan menghantar dua pasukan seramai lapan atlet untuk menyertai Bangkok 2026 FISU World University Championship Golf di Windsor Park & Golf Club, Thailand pada 11 hingga 14 November ini.
“Seramai 12 atlet golf AGN kini berada dalam kelompok 5,000 terbaik World Amateur Golf Ranking (WAGR), sekali gus berada dalam kalangan 55 pemain terbaik di peringkat kebangsaan,” katanya sempena lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim ke AGN, pagi tadi.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Martadha turut memohon peruntukan tambahan daripada KPT bagi memantapkan pembangunan atlet golf ke peringkat antarabangsa, merangkumi pembinaan semula pusat latihan intensif serta penyediaan peralatan canggih berasaskan teknologi terbaharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).
“Kita yakin Sintok mampu mengumpulkan puluhan atlet golf kerana pemain-pemain muda terbaik kini cenderung memilih UUM sebagai tempat latihan.
“Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti permainan, malah membolehkan mereka mempunyai diploma atau ijazah apabila tamat latihan kelak.
“Kos pembangunan seorang pemain golf bertaraf profesional adalah agak tinggi, antaranya untuk bayaran jurulatih pelbagai bidang kepakaran termasuk kecergasan dan keupayaan emosi, yuran penyertaan, kos perjalanan serta peralatan golf,” katanya.
Untuk rekod, atlet golf lelaki AGN yang berada di kedudukan keempat peringkat kebangsaan ialah Hariz Hezri, Zia Iqmal Abd Rashid, Farez Azihan dan Mohamad Danish Mohamad Rizal, manakala bagi kategori wanita, UUM dibanggakan oleh Charlayne Chong Shin Ling yang berada di kedudukan ke-4 kebangsaan, Nur Maisarah Saad (kedudukan ke-26) serta Nurul Syahirah Nasir (kedudukan ke-40).