SUKMA 2026: Pulau Pinang buru 60 pingat emas

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang , Daniel Gooi Zi Sen /RTM

GEORGETOWN, 20 Julai – Persiapan kontinjen Pulau Pinang kini berada pada fasa terakhir dan berjalan lancar menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke -22 yang bakal berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran 60 pingat emas dianggap realistik walaupun beberapa acara telah digugurkan.
  • Acara digugurkan tidak melibatkan atlet Pulau Pinang; dua acara ialah Rapid Fire pistol berpasukan dan renang artistik.
  • Saiz kontinjen dan acara akan diumumkan semasa majlis penyerahan bendera negeri pada 1 Ogos.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang , Daniel Gooi Zi Sen menjelaskan sasaran 60 pingat emas yang ditetapkan adalah realistik meskipun terdapat beberapa acara yang digugurkan oleh penganjur.

“Sebelum ini, kita telah menetapkan sasaran 60 pingat emas dan setakat ini, gerak kerja kami memang terarah kepada sasaran tersebut.

“Memang terdapat acara yang terpaksa digugurkan disebabkan kurang penyertaan daripada negeri-negeri lain, namun kita telah memuktamadkan semua perkara itu.

“Apa yang kami difahamkan, acara yang digugurkan tersebut tidak melibatkan atlet dari Pulau Pinang”, ujar beliau yang ditemui selepas Sidang Media Youth With Rhythm: Rentak Belia Talent Show 2026 disini.

Beliau turut memaklumkan saiz bilangan kontinjen serta acara yang bakal disertai negeri itu akan diumumkan pada majlis penyerahan bendera negeri yang akan berlangsung pada 1 Ogos depan.

Sebelum ini, dua acara digugurkan pada temasya berkenaan iaitu Rapid Fire pistol berpasukan dan renang artistik.

Kedua-dua acara berkenaan didapati tidak memenuhi syarat minimum penyertaan  yang mewajibkan sekurang-kurangnya enam pasukan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.