
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus berbanding 4.4 peratus sebelum ini.
- Kenaikan unjuran disokong prestasi kukuh separuh pertama, aliran masuk FDI, pelaburan semikonduktor dan AI, serta penggunaan swasta yang berdaya tahan.
- Ketidaktentuan geopolitik mempercepat pelaburan rantaian bekalan dan infrastruktur, sambil meningkatkan ketibaan pelancong dan eksport hidrokarbon.
- Risiko peningkatan kadar faedah Fed boleh menyederhanakan aliran masuk asing, walaupun ringgit disokong eksport tinggi dan pembaharuan institusi.
Perkara itu susulan prestasi ekonomi negara yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun ini.
MARC Ratings dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan unjuran itu disemak sekali lagi sekiranya momentum pertumbuhan kekal kukuh pada suku ketiga tahun ini.
“Ketidaktentuan geopolitik global telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan mempercepatkan pelaburan dalam rantaian bekalan dan pembangunan infrastruktur, selain meningkatkan ketibaan pelancong serta merangsang eksport hidrokarbon.
Faktor-faktor berkenaan turut disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kekal kukuh, peningkatan pelaburan dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI), serta penggunaan swasta yang terus berdaya tahan,” katanya dalam laporan 2H2026 Outlook: Navigating Higher Global Rates.
Mengulas prospek ringgit, MARC Ratings menjangkakan mata wang tempatan itu didagangkan dalam julat RM4.00 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2026, berbanding unjuran terdahulu antara RM3.98 hingga RM4.0.
Menurut agensi penarafan itu, semakan itu dibuat susulan perubahan jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Walau bagaimanapun, rekod eksport yang tinggi serta aliran masuk FDI yang berterusan dijangka terus menyokong nilai ringgit.
“Sepanjang separuh pertama 2026, ringgit kekal stabil dan muncul sebagai mata wang kedua terbaik dalam kalangan mata wang utama Asia, hanya di belakang yuan China,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Malaysia juga dijangka terus menarik aliran masuk pelaburan asing ke dalam pasaran bon pada separuh kedua 2026, disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta pembaharuan institusi yang berterusan.
Bagaimanapun, sebarang unjuran pendirian Fed AS yang cenderung menaikkan kadar faedah, berpotensi menyederhanakan aliran dana berkenaan.