Daya tahan sektor E&E perkukuh momentum perdagangan separuh pertama 2026

Foto HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Perdagangan luar Malaysia terus mempamerkan daya tahan yang tinggi bagi separuh pertama 2026 apabila nilai perdagangan meningkat sebanyak 22.4 peratus tahun ke tahun kepada RM1.796 trilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekuatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang utama, meningkat hampir RM140 bilion dan memperkukuh daya tahan sektor perkilangan.
  • Permintaan global berterusan, kemajuan teknologi dan peningkatan penggunaan teknologi digital menyokong pertumbuhan eksport Malaysia ke pasaran utama.
  • Memaksimumkan penggunaan FTA, mempelbagaikan destinasi dan meningkatkan eksport berasaskan nilai tambah menjadi tumpuan untuk mengekalkan momentum perdagangan.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini eksport berkembang 27.5 peratus kepada RM971.59 bilion.

”Pertumbuhan eksport sepanjang separuh pertama 2026 disumbangkan oleh kekuatan eksport barangan perkilangan negara, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat hampir RM140 bilion,

”Prestasi ini didorong oleh permintaan global yang berterusan, kemajuan teknologi serta peningkatan penggunaan teknologi digital di pasaran utama,” jelas MATRADE.

Menurut agensi itu, barangan perkilangan lain seperti keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta barangan perkilangan logam turut mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Jelasnya, eksport hasil galian turut menyumbang secara positif, khususnya bijih logam dan serpihan logam serta gas asli cecair (LNG).

Daripada perspektif pasaran, pertumbuhan eksport disokong oleh permintaan kukuh daripada rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, nilai import naik 16.9 peratus kepada RM824.44 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM147.15 bilion dari tempoh Januari hingga Jun 2026.

Menurut MATRADE, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan nilai tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun, disokong oleh integrasi kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.

”Berdasarkan prestasi kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama, beberapa barangan serta pasaran eksport utama dijangka mencatatkan paras tertinggi baharu secara keseluruhannya bagi tahun ini, disokong oleh prestasi barangan E&E serta permintaan mampan daripada rakan dagang utama.

”Melangkah ke hadapan, usaha berterusan untuk memaksimumkan penggunaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mempelbagaikan destinasi eksport serta meningkatkan eksport berasaskan nilai tambah yang lebih tinggi akan terus menjadi pemacu penting dalam mengekalkan momentum perdagangan dan memperkukuh daya tahan eksport Malaysia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.