
SEREMBAN, 20 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan menerima sebanyak 109 permohonan permit penganjuran ceramah dan aktiviti kempen politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi tempoh 18 hingga 19 Julai.
- 107 permohonan permit ceramah dan kempen diluluskan setelah memenuhi syarat ditetapkan.
- Tiga laporan polis dan dua kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya, termasuk siasatan di bawah Seksyen 427.
- Keadaan keselamatan dan ketenteraman dilaporkan baik; polis akan pantau, tingkat kesiapsiagaan dan ambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata 107 daripada jumlah keseluruhan permohonan diluluskan, selepas didapati memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
“Sebanyak 90 permohonan permit diterima hanya pada 19 Julai dengan 88 daripadanya diluluskan.
“Semua program dan aktiviti politik akan terus dipantau bagi memastikan penganjur mematuhi undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak tiga laporan polis dan dua kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan pilihan raya bagi tempoh 18 hingga 19 Julai.
“Pada 19 Julai, sebanyak dua laporan polis diterima dan dua kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Datuk Alzafny berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam sejak PRN Negeri Sembilan berlangsung pada Sabtu lalu berada pada tahap baik dan terkawal.
Dalam pada itu, PDRM Negeri Sembilan akan terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16, selain sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberi kerjasama kepada pihak polis bagi memastikan pilihan raya berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan teratur.