
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Institusi asing melanjutkan aktiviti pembelian bagi minggu kedua berturut-turut di Bursa Malaysia dengan aliran masuk bersih mencecah RM612.3 juta, meningkat lapan kali ganda berbanding RM75.3 juta pada minggu sebelumnya.
- Institusi asing muncul pembeli bersih bagi empat daripada lima hari, aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Khamis.
- Aliran masuk ketara kepada perkhidmatan kewangan, utiliti dan perladangan, aliran keluar terbesar pada perindustrian, teknologi dan pengguna.
- Institusi tempatan dan pelabur runcit meneruskan jualan bersih, sementara jumlah dagangan harian meningkat meluas.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), institusi asing muncul sebagai pembeli bersih bagi empat daripada lima hari dagangan sepanjang minggu berkenaan dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Khamis iaitu RM238.7 juta.
”Tiga sektor dengan aliran masuk bersih ketara disumbangkan oleh institusi asing di Bursa Malaysia adalah perkhidmatan kewangan (RM754.1 juta), utiliti (RM194.9 juta) dan perladangan (RM66.9 juta).
”Sebaliknya, aliran keluar bersih terbesar pula dicatatkan oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (RM256.0 juta), teknologi (RM98.5 juta), serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM64.3 juta),” menurut MBSB IB menerusi laporan aliran dana bagi minggu berakhir 17 Julai 2026.
Sementara itu, institusi tempatan meneruskan jualan bersih bagi minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih -RM305.9 juta.
Pada masa sama, pelabur runcit kembali sebagai penjual bersih dengan aliran keluar dana berjumlah RM306.4 juta, selepas merekodkan belian bersih minggu lalu.
Secara keseluruhan, jumlah dagangan harian menunjukkan peningkatan meluas dengan pelabur runcit menokok 34.3 peratus, diikuti institusi tempatan sebanyak 25.8 peratus, manakala institusi asing sebanyak 40.8 peratus.