
PORT DICKSON, 18 Julai – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menggariskan perancangan pembangunan termasuk pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
- Pembangunan dirancang untuk meningkatkan kemudahan dan memperluas peluang ekonomi kepada penduduk.
- Rekod pentadbiran Aminuddin menunjukkan perancangan bukan sekadar janji politik.
- Mengakui Linggi kubu kuat BN, beliau sedia menghadapi cabaran selepas mendapat persetujuan kepimpinan parti.
- Pertandingan tiga penjuru melibatkan PH, BN dan Bersatu; pengundian PRN ditetapkan 1 Ogos, undi awal 28 Julai.
Pengerusi PH Negeri Sembilan itu berkata, pembangunan berkenaan merupakan antara pembaharuan yang dirancang bagi meningkatkan kemudahan serta memperluaskan peluang ekonomi kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, rekod pentadbirannya sebelum ini membuktikan segala perancangan yang diumumkan bukan sekadar janji politik.
“Saya bukan hendak berjanji. Saya tidak berjanji, saya akan melaksanakan apa yang kita rancang. Ini terbukti sejak kita bersama dan ketika saya menjadi Ahli Parlimen sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, hari ini.
Mengulas mengenai saingan di DUN Linggi yang dianggap kubu kuat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Aminuddin mengakui cabaran yang bakal dihadapi bukan mudah.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan bertanding di kerusi berkenaan dibuat selepas cadangannya dipersetujui kepimpinan parti dan beliau bersedia menggalas tanggungjawab itu.
“Saya perlu berani memperjuangkan Pakatan Harapan di DUN Linggi dan berharap pengundi dapat membuat keputusan yang bijak pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Datuk Seri Aminuddin dicabar penyandang kerusi DUN Linggi daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli, serta calon Bersatu, Datuk Zamri Md Said.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.