
TASEK GELUGOR, 23 Jun – Jaringan perniagaan serta pasaran serantau terus diperluas menerusi penganjuran Ekspo PERDA (EXPERT) 2026 yang dijangka menghimpunkan lebih 200 pempamer pelbagai sektor perniagaan.
- Kerjasama strategik antara usahawan Malaysia, Indonesia dan Thailand memperluas akses pasaran serantau.
- Konsep Sinergi Halal membuka peluang lebih besar bagi usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
- Kerjasama rentas sempadan membolehkan produk tempatan dipasarkan ke luar negara dan mendorong kolaborasi perniagaan.
- Diskaun 20 peratus ditawarkan bagi tapak jualan sempena ekspo, menggalakkan penyertaan usahawan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Ir. Dr Shaikh Hussein Mydin yakin penganjurannya pada Oktober ini akan memperluas akses pasaran menerusi kerjasama strategik antara usahawan Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Konsep Sinergi Halal yang diketengahkan menerusi ekspo itu nanti dijangka membuka peluang lebih besar kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa khususnya di Indonesia dan Thailand yang mempunyai potensi pasaran yang luas.
“Kerjasama rentas sempadan itu bukan sahaja membolehkan produk tempatan dipasarkan ke luar negara, malah memberi peluang kepada usahawan dari negara berkenaan berkolaboratif serta meneroka peluang perniagaan di Pulau Pinang,”katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Expo PERDA (EXPERT) 2026.
Diskaun sebanyak 20 peratus diberikan kepada tapak jualan sempena ekspo yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober nanti.