Industri pelancongan Malaysia jana nilai tambah RM323 bilion pada 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 September – Industri pelancongan Malaysia menjana nilai tambah berjumlah RM323 bilion pada tahun 2025, sekali gus menyumbang 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan 8.6% pada 2025 hasil permintaan kuat inbound dan domestik; perbelanjaan domestik meningkat 15.2%.
  • Perdagangan runcit menyumbang 50.6%, diikuti makanan dan minuman 16.4% dan perkhidmatan pelancongan 13.1%.
  • Guna tenaga pelancongan 3.7 juta orang, menyumbang 22.1% kepada jumlah guna tenaga negara.

Laporan Akaun Satelit Pelancongan 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, industri tersebut berkembang 8.6 peratus berbanding 7.8 peratus pada 2024.

”Pertumbuhan positif itu didorong oleh permintaan kukuh daripada perbelanjaan pelancongan inbound melibatkan pelawat yang masuk ke negara ini dan pelancong domestik.

”Perbelanjaan pelancongan dalaman tumbuh 15.2 peratus bersamaan RM236.9 bilion bagi tempoh sama,” jelas DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan industri, perdagangan runcit menyumbang 50.6 peratus daripada keseluruhan nilai tambah, diikuti oleh makanan dan minuman (16.4 peratus) serta perkhidmatan khusus bercirikan pelancongan negara seperti kesihatan dan aktiviti mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran dengan sumbangan sebanyak 13.1 peratus.

Pada masa sama, penginapan dan aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi masing-masing menyumbang 9.3 dan 4.3 peratus.

Sementara itu, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan mencatatkan 3.7 juta orang pada tahun 2025, dengan menyumbang 22.1 peratus kepada jumlah guna tenaga di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.