
PUTRAJAYA, 15 September – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sedang meneroka lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) bagi mempelbagaikan asas pelaburannya selain sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.
- NCIA menilai potensi pelaburan EV dan projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah.
- Dua pelabur bateri EV dikenal pasti, tiga lagi dipertimbang untuk automotif; usaha wajar dijalankan bersama MIDA dan MITI.
- E&E serta semikonduktor kekal tunjang; NCER mahu kembangkan sektor lain dan tarik industri bernilai tinggi untuk naikkan produktiviti, mewujudkan pekerjaan berkemahiran.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata, beberapa potensi pelaburan dalam sektor EV kini sedang dinilai, termasuk projek kenderaan berteknologi tinggi di Kulim, Kedah.
Setakat ini, dua pelabur dikenal pasti dalam segmen bateri EV, manakala tiga lagi sedang dipertimbang dalam segmen automotif.
“Saya rasa ada beberapa pelabur yang akan masuk dalam sektor automotif khususnya EV. Kita sedang meneliti perkara itu dan menjalankan proses usaha wajar terhadap sektor serta pelabur berkenaan. Sudah tentu, kita juga bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya selepas pelancaran Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030 yang disempurnakan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata pada masa sama, E&E dan semikonduktor kekal menjadi tunjang utama pelaburan NCER, khususnya di Pulau Pinang, dengan kira-kira 95 peratus pelaburan dijangka tertumpu kepada sektor berkenaan.
“Namun, NCER mahu memperluas sumber pertumbuhan ke sektor lain serta kawasan yang kurang membangun di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Antara kawasan yang terus diberi tumpuan ialah Kulim Hi-Tech Park di Kedah dan Lembah Chuping di Perlis, selain usaha menarik industri bernilai tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.