
SHAH ALAM, 23 Jun – Mahasiswa di seluruh negara digesa memanfaatkan pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mendapatkan sokongan, bimbingan serta akses pembiayaan untuk memulakan perniagaan.
- KUSKOP galakkan mahasiswa manfaatkan inisiatif untuk sokongan, bimbingan dan akses pembiayaan memulakan perniagaan.
- Pendedahan awal keusahawanan membantu mahasiswa bina asas perniagaan kukuh serta tingkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian.
- INSKEN menawarkan pelbagai program bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya saing mahasiswa dalam dunia perniagaan.
- Kerjasama dengan Bank Rakyat kenal pasti mahasiswa asnaf berpotensi dan sediakan geran RM5,000, manakala agensi KUSKOP menawarkan pembiayaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pendedahan awal kepada bidang keusahawanan mampu membantu mahasiswa membina asas perniagaan yang lebih kukuh serta meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.
Menurut beliau, pelbagai program pembangunan usahawan yang dilaksanakan oleh Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) boleh dimanfaatkan mahasiswa bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya saing dalam dunia perniagaan.
“Kita mempunyai pelbagai program anjuran INSKEN untuk mendekati usahawan di seluruh negara, termasuk usahawan yang dilahirkan di peringkat universiti.
Kita juga menjalinkan kerjasama dengan Bank Rakyat bagi membantu golongan asnaf. Kita mahu mengenal pasti mahasiswa daripada golongan asnaf yang mempunyai potensi dalam bidang perniagaan dan menyediakan geran sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka memulakan perniagaan di kampus seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Usahawan MADANI Mega (SUM MEGA) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Datuk Mohamad berkata, selain bantuan permulaan perniagaan, kemudahan pembiayaan yang disediakan agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, SME Corp. Malaysia dan Amanah Ikhtiar Malaysia juga boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan muda mendapatkan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Dalam pada itu, SUM MEGA 2026 berjaya menghimpunkan seramai 6,877 peserta secara fizikal dan dalam talian, sekali gus mencatat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records bagi kategori penyertaan pelajar terbesar dalam seminar keusahawanan.
Program berkenaan menjadi platform perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti serta pembentukan rangkaian strategik antara mahasiswa, usahawan dan pemain industri, selaras usaha kerajaan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara serta melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing.