China, Rusia bantah persenjataan angkasa selepas AS akui senjata di orbit

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun menegaskan, Beijing menentang usaha angkasa lepas dijadikan medan perlumbaan senjata/ REUTERS

BEIJING, 16 September – China pada Selasa memberi amaran supaya angkasa lepas tidak dijadikan “medan perang”, manakala Rusia menggesa agar ruang berkenaan kekal bebas daripada sebarang senjata selepas Amerika Syarikat (AS) mengesahkan buat pertama kali bahawa ia mempunyai senjata yang ditempatkan di orbit.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS mengakui memiliki senjata kawalan angkasa di orbit yang boleh mempertahankan Pasukan Gabungan, tanpa mendedahkan jenis atau bilangan.
  • Space Force berkata kawalan angkasa menggunakan kaedah kinetik dan bukan kinetik seperti laser, gangguan elektromagnetik dan serangan siber terhadap satelit.
  • Perjanjian Angkasa Lepas 1967 hanya melarang senjata pemusnah besar di orbit, menimbulkan kekosongan peraturan dan rundingan PBB pada November.

Kenyataan itu dibuat selepas AS mengakui mempunyai “senjata kawalan angkasa lepas di orbit yang mampu mempertahankan Pasukan Gabungan daripada tindakan bermusuhan pihak lawan”, tanpa mendedahkan jenis atau jumlah senjata berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata Beijing menentang usaha mempersenjatai angkasa lepas, menjadikannya medan perang serta mencetuskan perlumbaan senjata.

“Kami menggesa pihak AS menghentikan peluasan keupayaan ketenteraan dan persiapan untuk berperang di angkasa lepas,” katanya pada taklimat media.

Sementara itu, Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Rusia berharap ruang angkasa dapat dikekalkan “bebas daripada sebarang senjata”.

“Kami berharap penyatuan antarabangsa yang lebih luas dapat terus berusaha ke arah penyahmilitaran sepenuhnya ruang angkasa,” katanya.

Pendedahan AS itu dilihat penganalisis sebagai pengesahan terhadap perkara yang selama ini dianggap sebagai rahsia terbuka, namun masa pengumuman berkenaan berpotensi meningkatkan ketegangan dengan Beijing dan risiko perlumbaan senjata di angkasa.

Pusat Operasi Bersama Pemerintahan Angkasa Lepas AS di Pangkalan Angkatan Angkasa Peterson, Colorado, AS/ REUTERS

Menurut kenyataan Space Force AS, kawalan angkasa merangkumi misi untuk mencabar dan mengawal domain angkasa menggunakan kaedah kinetik dan bukan kinetik bagi menjejaskan keupayaan pihak lawan.

Keupayaan berkenaan boleh digunakan untuk tujuan serangan dan pertahanan, termasuk kaedah bukan kinetik seperti laser bagi mengganggu satelit atau gangguan elektromagnetik dan siber terhadap pautan data.

AS menganggap China dan Rusia sebagai dua kuasa geopolitik utama yang berpotensi mengancam kepentingannya di angkasa.

Space Force berkata China membangunkan dan mengendalikan keupayaan angkasa serta anti-angkasa sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan ketenteraan, manakala Rusia melihat angkasa sebagai domain peperangan dan menganggap penguasaan ruang angkasa berpotensi menjadi faktor penentu dalam konflik masa depan.

Sementara itu, penganalisis ketenteraan berpangkalan di Hong Kong, Song Zhongping, berkata pengumuman AS bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kewujudan senjata berkenaan sudah lama dianggap sebagai rahsia terbuka.

“Perbezaannya ialah AS sebelum ini bersikap samar, manakala kini ia mengumumkannya secara terbuka,” katanya kepada AFP.

Beliau berkata China tidak akan berdiam diri sekiranya AS meneruskan langkah berkenaan, sambil menegaskan tindak balas Beijing bergantung kepada perkembangan tindakan Washington.

Persenjataan angkasa bukan isu baharu. Sejak pelancaran Sputnik oleh Kesatuan Soviet pada 1957, AS dan Moscow telah meneroka pelbagai kaedah untuk melindungi atau memusnahkan satelit.

India pada Mac 2019 turut mengumumkan kejayaan memusnahkan satelit orbit rendah menerusi ujian peluru berpandu, selepas langkah sama dilakukan Rusia, China dan AS.

Dari sudut perundangan, Perjanjian Angkasa Lepas 1967 melarang penempatan senjata pemusnah besar-besaran, termasuk senjata nuklear, di orbit.

Namun, pakar undang-undang angkasa Laetitia Cesari berkata terdapat kekosongan peraturan kerana Artikel 4 perjanjian itu hanya melarang senjata pemusnah besar-besaran dan nuklear di orbit.

Beliau berkata isu berkenaan berkemungkinan dibincangkan pada mesyuarat pelucutan senjata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada November.

Menurut Cesari, Rusia dan China telah berusaha selama kira-kira 20 tahun untuk mewujudkan perjanjian bagi menghalang penempatan senjata di angkasa, manakala negara barat lebih memberi tumpuan kepada konsep tingkah laku bertanggungjawab. – REUTERS/ AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.