Jerebu hadkan aktiviti luar penduduk pada cuti Hari Malaysia

Pemandangan udara Kuala Terengganu diselubungi jerebu ketika tinjauan RTM pagi tadi (Foto kecil: Mohd Azman Mohd Zain, Siti Norhaida, Aqila Maisara)/ RTM

KUALA TERENGGANU, 16 September- Keadaan jerebu di Kuala Terengganu mengehadkan aktiviti luar penduduk sempena cuti Hari Malaysia hari ini termasuk aktiviti riadah dan meluangkan masa bersama keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti luar; sediakan air jika ingin berjalan pantas.
  • Pengunjung kawasan berkelah dan berjoging semakin berkurang; bawa air dan pakai pelitup muka.
  • Usahawan menasihatkan pemakaian pelitup muka dan minum air secukupnya semasa aktiviti luar.
  • Jabatan Pendidikan arahkan penangguhan segera semua aktiviti luar sekolah berdasarkan bacaan IPU semasa.

Seorang guru, Mohd Azman Mohd Zain berkata keadaan itu menyebabkan orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti seperti berjalan pantas.

“Kurangkan sedikit aktiviti luar. Jika ingin melakukan aktiviti seperti ‘brisk walk’, sediakan air dan pastikan minum secukupnya,” katanya ketika ditemui RTM di sini hari ini.

Bagi pelajar, Aqila Maisara dan usahawan, Siti Norhaida perubahan itu turut dapat dilihat di kawasan yang biasanya menjadi tumpuan untuk berkelah dan berjoging.

“Sebelum ini ramai yang datang untuk berkelah dan berkhemah, tetapi sekarang nampak semakin kurang,” kata Aqila Maisara, manakala Siti Norhaida menasihati orang ramai agar memakai pelitup muka ketika berada di luar bangunan.

“Kalau nak melakukan aktiviti luar, dinasihatkan pakai pelitup muka dan minum air secukupnya,” kata Siti Norhaida.

Sementara itu, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 1 tengah hari ini, empat kawasan di Terengganu merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Kuala Terengganu mencatat bacaan tertinggi iaitu 161, diikuti Kemaman (152), Paka (150) dan Besut (130).

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu mengingatkan semua sekolah supaya menangguhkan serta-merta aktiviti luar bilik darjah berdasarkan bacaan IPU semasa, termasuk kokurikulum, sukan dan permainan, latihan pasukan sekolah, Pendidikan Jasmani serta merentas desa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.