
KUALA LUMPUR , 16 Sept- Semangat Hari Malaysia bukan sekadar meraikan pembentukan sebuah negara, malah turut dizahirkan menerusi kejayaan anak Malaysia yang mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
- Setiap kejohanan dianggap medan membuktikan kemampuan diri dan mencapai prestasi terbaik.
- Kejayaan tidak hanya diukur dengan kemenangan tetapi melibatkan usaha berterusan dan komitmen.
- Jadikan semangat kesukanan sebagai kerjaya, buka minda dan manfaatkan teknologi untuk capai potensi.
- Berusaha dan percaya pada diri sendiri walaupun orang lain tidak mempercayai anda.
Atlet Larian Menara Negara, Soh Wai Ching berkata, setiap kejohanan yang disertai dianggap sebagai medan membuktikan kemampuan diri, mencapai prestasi terbaik seterusnya mengangkat nama negara di peingkat lebih tinggi.
Menurutnya, kejayaan tidak hanya diukur menerusi kemenangan, sebaliknya turut melibatkan usaha berterusan dan memberikan yang terbaik dalam setiap saingan.
“Harap mereka menjadikan semangat kesukanan mereka sebagai satu kerjaya. Dengan teknologi yang kita ada sekarang, semua orang mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan. Jadi, jangan fikir terlalu sempit, sebaliknya buka minda dan pemikiran kerana kita mampu mencapai lebih banyak perkara. Yang penting, jadikan ia kenyataan.
“Kita kena berusaha, percaya kepada diri sendiri walaupun orang lain tidak mempercayai kita. Tidak mengapa, yang penting kita percaya pada diri sendiri dan sentiasa memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.
Sejak menceburi larian menara pada tahun 2017, Wai Ching telah menyertai kira-kira 210 kejohanan dan muncul juara keseluruhan sebanyak 158 kali.