
KUALA LUMPUR, 16 September – Sambutan Hari Malaysia yang memasuki usia 63 tahun bukan sekadar angka simbolik, sebaliknya menuntut kefahaman dan penerimaan mendalam terhadap sejarah pembentukan tanah air demi mengukuhkan perpaduan dan kedaulatan negara.
- Penghayatan sejarah kemerdekaan mesti merangkumi dan menerima Perjanjian Malaysia 1963 sebagai dokumen asas Persekutuan.
- Artikel VIII MA63 kekal menjadi tunjang undang-undang pembentukan dan hubungan antara negeri serta Persekutuan.
- Tiada keperluan untuk mewujudkan perjanjian baharu kerana komitmen MA63 terus mengikat.
- Memperkukuh kefahaman dan penerimaan terhadap MA63 akan memantapkan perpaduan, kemajuan, kemakmuran dan keselamatan negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, penghayatan terhadap sejarah kemerdekaan negara tidak seharusnya terhad kepada peristiwa tertentu, sebaliknya perlu turut merangkumi penerimaan menyeluruh terhadap dokumen asas yang membentuk Persekutuan Malaysia.
“Kesedaran tentang sejarah kemerdekaan negara bukan sekadar memerlukan kefahaman terhadap Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, kontrak sosial antara tiga kaum utama dan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, malah menuntut penerimaan sepenuhnya terhadap sijil lahir Persekutuan Malaysia itu sendiri, iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi beliau.
Mengulas mengenai komitmen dan tanggungjawab bersama dalam Persekutuan, Datuk Armizan menegaskan, asas hukum yang dimeterai menerusi Artikel VIII MA63 kekal menjadi tunjang kepada pembentukan Malaysia sejak awal penubuhannya.
Sehubungan itu, tiada keperluan untuk mewujudkan perjanjian baharu bagi menguruskan hubungan antara Persekutuan, memandangkan komitmen yang telah dimeterai menerusi MA63 terus mengikat.
“Melangkah ke hadapan, negara ini tidak memerlukan perjanjian baharu ataupun apa yang disebutkan sebagai ‘new deal’ oleh sesetengah pihak.
“Ini kerana hakikatnya terma-terma perjanjian secara tersurat menzahirkan MA63 itu tidak akan ternoktah sebaik tergubalnya Perlembagaan Persekutuan, dan MA63 itu terus hidup dan komitmen serta tanggungjawab yang digariskan itu kekal relevan dan mengikat dulu, kini dan selamanya,” katanya.
Datuk Armizan berharap, kefahaman dan penerimaan terhadap komitmen sejarah berkenaan dapat terus diperkukuh supaya Persekutuan Malaysia berkembang sebagai sebuah negara yang lebih utuh, maju, makmur dan selamat untuk seluruh rakyat.