
KUALA LUMPUR, 16 September – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata pandangannya berhubung permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dibuat selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara.
- Hannah memberikan pandangan secara jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani demi kepentingan negara.
- Kuasa dan keputusan muktamad mengenai pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan.
- Yang di-Pertuan Agong berkenan menangguhkan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
- BHEUU berperanan sebagai urus setia Lembaga Pengampunan, bukan pihak membuat keputusan walaupun di bawah kementerian berkaitan.
Pandangan itu diberikan atas kapasiti beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
“Sebagai salah seorang anggota Lembaga Pengampunan dan setelah meneliti pendapat bertulis Peguam Negara, saya telah memberikan pandangan atas kapasiti sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kuasa dan keputusan muktamad berhubung perkara itu terletak pada Yang di-Pertuan Agong, termasuk kuasa untuk menangguhkan sebarang keputusan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib.
“Selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Pada 11 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.
Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata BHEUU hanya bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan dan bukan pihak yang membuat keputusan berkaitan pengampunan.
Meskipun BHEUU berada di bawah kementeriannya, peranan bahagian itu adalah sebagai sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.