
KUALA KEDAH, 16 September – Sambutan Hari Malaysia dimeriahkan dengan dengan pembinaan replika Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) setinggi 6.2 meter.
- Idea kreatif komuniti menggunakan lebih 4,200 botol plastik terbuang dikutip dari pantai untuk membina pintu masuk kampung.
- Penduduk bergotong-royong mengumpul botol dan menyediakan bahan sebelum membina struktur berkerangka besi menyerupai menara.
- Kaum wanita menjahit replika bunga raya sebagai pelengkap karya komuniti.
- Inisiatif untuk memupuk semangat patriotik generasi muda, dibiayai sumbangan perantau; aktiviti lain termasuk penanaman bakau melibatkan pelajar universiti.
Replika tersebut hasil idea kreatif komuniti Kampung Sungai Papan, Mukim Tebengau, disini menggunakan lebih 4,200 botol plastik terbuang yang dikutip dari pantai oleh penduduk bagi membina pintu masuk kampung berkenaan.
Menurut Ketua Komuniti Kampung Sungai Papan, Azhar Mohamad Noh, penduduk kampung bergotong-royong mengumpulkan botol plastik serta menyediakan bahan yang diperlukan sebelum proses membina replika tersebut dimulakan.
Katanya proses awal pembuatan replika itu bermula dengan membina kerangka besi yang berbentuk menara berkembar yang menjadi ikonik negara sebelum siap sepenuhnya awal bulan lalu.
Turut dihasilkan replika bunga raya yang dijahit kaum wanita sebagai pelengkap replika menara berkenaan.
“Cara komuniti kami melaksanakan inisiatif ini adalah dengan memberi pendedahan kepada generasi terkini. Kita bimbang generasi yang lebih muda mungkin kurang terdedah kepada semangat patriotik dan nilai kecintaan terhadap negara.
“Oleh itu, kita mahu menerapkan semangat tersebut dalam diri mereka melalui program dan aktiviti yang dapat membina jati diri serta rasa tanggungjawab terhadap negara.
Segala kos pelaksanaan program ini pula ditanggung hasil sumbangan daripada anak-anak perantauan dan masyarakat kita yang berada di luar kawasan, sama ada yang menetap di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak,” katanya.
Tambahnya, aktiviti sebegitu sering diadakan di kampung berkenaan termasuk program khidmat masyarakat iaitu penanaman bakau yang melibatkan pelajar universiti serta majlis keramaian.