
KUALA LUMPUR, 16 September – Lebih 1,000 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) digerakkan di lapangan bagi memastikan kelancaran operasi pengangkutan awam bersempena penganjuran Keretapi Sarong 2026.
- Prasarana memastikan pergerakan penumpang dan peserta program berjalan lancar serta selamat.
- Prasarana Rapid KL sebagai rakan mobiliti rasmi menggerakkan peserta ke stesen akhir.
- Sebagai sebuah syarikat kerajaan, Prasarana menyokong penuh acara yang menyatukan masyarakat.
- Sarong sebagai simbol penyatuan budaya menjadikan acara platform tonjolkan peranan pengangkutan awam menghubungkan rakyat serta memperkukuh identiti Malaysia.
Ketua Jabatan Komunikasi dan Penjenamaan Kumpulan Prasarana, Adli Abdul Karim berkata, langkah itu bagi memastikan pergerakan penumpang dan peserta program berjalan lancar serta selamat.
“Prasarana Rapid KL amat berbangga kerana kami sekali lagi dapat bekerjasama dengan Keretapi Sarong tahun ini sebagai rakan mobiliti rasmi untuk menggerakkan peserta-peserta Keretapi Sarong ke stesen akhir.
“Insya-Allah, sebagai syarikat kerajaan, kami sentiasa menyokong penuh acara sebegini yang dapat menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan kami berharap dapat terus bersama Keretapi Sarong pada tahun-tahun mendatang untuk menjayakan acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada penganjuran Keretapi Sarong 2026 di MRT Mutiara Damansara.
Menurut Adli, sarong sebagai simbol penyatuan budaya turut menjadikan acara berkenaan sebagai platform untuk mengetengahkan peranan pengangkutan awam dalam menghubungkan rakyat, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan memperkukuh identiti Malaysia.