YDP Agong zahir penghargaan atas khidmat bakti, pengorbanan warga ATM

Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 16 September – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan pegawai serta anggota tentera dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara bersempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baginda mengucapkan selamat Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-93 kepada seluruh warga ATM.
  • Hantaran dibuat di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
  • Berdoa agar warga ATM dikurniakan kesihatan, kekuatan dan semangat juang tinggi.
  • Menghargai jasa pesara ATM dan membaca Al-Fatihah untuk yang telah pergi.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM turut berkenan mengucapkan selamat menyambut Hari ATM ke-93 kepada seluruh warga pasukan itu.

Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan serta semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi tanah air tercinta.

Penghargaan turut dizahirkan kepada pesara ATM atas segala sumbangan, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh,” titah Seri Paduka Baginda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.