Jerebu: Warga kota sesuaikan aktiviti sambutan Hari Malaysia

Kogilavani, Nur Izyani Nadira Rosli dan Jocelyn Ng/ RTM

KUALA LUMPUR, 16 September- Warga kota yang keluar menyambut Hari Malaysia hari ini mengambil langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu termasuk memakai pelitup muka, memastikan pengambilan air mencukupi dan memilih lokasi yang lebih terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warga menyesuaikan sambutan Hari Malaysia dengan menghadiri program terancang atau memilih aktiviti keluarga di lokasi tertutup akibat jerebu.
  • Sesetengah peserta tetap hadir festival budaya kerana semangat cinta negara walaupun jerebu, namun tetap berjaga-jaga.
  • Ada yang memilih sambut di rumah, menonton program Hari Malaysia dan buat perhimpunan kecil bersama keluarga sebagai alternatif.
  • Bacaan IPU menunjukkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang mencatat tahap tidak sihat, termasuk Johan Setia tertinggi.

Tinjauan RTM di sekitar Kuala Lumpur mendapati orang ramai menyesuaikan aktiviti sambutan dengan keadaan jerebu, termasuk menghadiri program yang telah dirancang dan memilih aktiviti bersama keluarga di kawasan tertutup.

Bagi Kogilavani, 50, keadaan jerebu yang dirasai ketika berada di luar memerlukan orang ramai lebih berhati-hati, namun aktiviti yang dapat memupuk semangat patriotik masih boleh diteruskan.

“Jerebu memang ada. Ketika memandu pagi tadi pun dapat dirasai keadaan berjerebu.

“Namun, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga… banyak minum air, air lemon dan ambil vitamin C,” katanya.

Sementara itu, Nur Izyani Nadira Rosli, 22, memilih untuk tetap menghadiri festival budaya Malaysia pada hari terakhir penganjurannya dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Memang ketika keluar rumah kita dah nampak kabus jerebu yang tebal. Tak dinafikan. Tetapi disebabkan semangat cinta negara dan festival seperti ini bukan diadakan setiap hari, kami tetap hadir.

“Namun, perlu berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, minum air banyak dan sentiasa periksa IPU (Indeks Pencemar Udara),” katanya.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia juga boleh diteruskan dengan memilih lokasi yang lebih terkawal, termasuk kawasan tertutup.

Dalam pada itu, Jocelyn Ng, 25, memilih untuk menyambut Hari Malaysia dari rumah sebagai alternatif ketika keadaan jerebu.

“Di rumah, kita masih boleh menonton program berkaitan Hari Malaysia. Perhimpunan kecil bersama keluarga di rumah pun boleh.

“Kalau keluar, terutama ke tempat ramai seperti bazar, jangan lupa pakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, dua kawasan di Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat pukul 2 petang ini dengan Cheras mencatat bacaan tertinggi 177 diikuti Batu Muda (171).

Di kawasan Lembah Klang lain, Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi 184, diikuti Shah Alam dan Putrajaya masing-masing 172.

Petaling Jaya mencatat bacaan 166, manakala Klang dan Banting masing-masing 162 serta Kuala Selangor (161).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.