
KUALA LUMPUR, 16 September- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan MyKad versi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini, bermula esok.
Sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkap pusat cetak di seluruh negara bersedia mengeluarkan MyKad generasi baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama, manakala permohonan di cawangan tanpa kemudahan cetakan akan mengambil masa lima hari bekerja.
“Selepas lebih dua dekad, kini tiba masanya untuk satu generasi baharu mengambil tempat membawa pembaharuan pada reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan MyKad,” menurut JPN menerusi Facebook hari ini.
Penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
“Seiring perubahan zaman dan perkembangan teknologi, dokumen pengenalan diri negara juga perlu terus berevolusi khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan dan perlindungan identiti,” tambah JPN.
Orang ramai boleh layari portal rasmi JPN menerusi www.jpn.gov.my atau mengemukakan sebarang pertanyaan melalui kemudahan Chatbot JPN di portal terbabit termasuk mengenai prosedur dan perincian permohonan.
Terdahulu, menerusi platform sama, JPN mengeluarkan nasihat agar orang ramai tidak berpusu-pusu untuk membuat penggantian MyKad bagi mengelakkan kesesakan di pejabat JPN.
“MyKad sedia ada masih sah dan boleh terus digunakan seperti biasa.
“Tiada keperluan untuk menukar MyKad semata-mata bagi mendapatkan versi baharu. Utamakan urusan yang benar-benar memerlukan penggantian MyKad agar perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu,” menurut JPN pada Selasa.