
KUALA LUMPUR, 16 September – Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyambut baik usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh akses pembiayaan serta sokongan bersasar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdepan cabaran operasi.
- Akses pembiayaan penting untuk menampung peningkatan kos operasi, ketidaktentuan global dan tekanan terhadap margin keuntungan.
- KUSKOP menyasarkan pembiayaan sehingga RM15 bilion; kira-kira RM9 bilion telah disalurkan sehingga 31 Julai, manfaatkan sekitar 250,000 usahawan.
- Cadangan moratorium bersasar diperluas bagi membantu perniagaan yang benar-benar memerlukan menghadapi tekanan operasi semasa.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, akses kepada pembiayaan amat penting ketika perniagaan berdepan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan global dan tekanan terhadap margin keuntungan.
Menurut beliau, KUSKOP menyasarkan pembiayaan sehingga RM15 bilion tahun ini, dengan kira-kira RM9 bilion telah diluluskan dan disalurkan setakat 31 Julai, sekali gus memanfaatkan sekitar 250,000 usahawan di seluruh negara.
“Kami menghargai kesungguhan YB Steven Sim dan KUSKOP memastikan pembiayaan yang mencukupi tersedia untuk perniagaan Malaysia.
“Akses kepada pembiayaan kekal antara bentuk sokongan paling penting kepada PKS, sama ada untuk menghadapi kesukaran sementara atau mengembangkan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
FMBA turut mencadangkan agar bantuan moratorium secara bersasar diperluas kepada perniagaan yang benar-benar memerlukan bagi membantu mereka menghadapi tekanan operasi semasa.