PM terima kunjungan hormat tiga pemimpin kanan Maldives

Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

MALDIVES,15 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat tiga pemimpin kanan Maldives di Niva Kurumba Maldives, di sini sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke republik kepulauan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperteguh persahabatan Malaysia–Maldives berteraskan nilai Islam, dan kerjasama pendidikan tinggi, TVET serta pembangunan modal insan untuk generasi muda.
  • Mempererat hubungan Parlimen melalui pertukaran lawatan, perkongsian pengalaman dan kerjasama di bawah Persatuan Parlimen Komanwel.
  • Perbincangan mengenai peluang perdagangan, pelaburan, pelancongan, industri halal, ekonomi digital serta ketahanan iklim dan pembangunan mampan.

Kunjungan hormat itu melibatkan Naib Presiden Maldives Hussain Mohamed Latheef, Yang Dipertua Majlis Rakyat Maldives Abdul Raheem Abdulla dan Menteri Luar Iruthisham Adam, yang berlangsung secara berasingan, masing-masing selama 10 minit.

Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat Hussain pada 11.45 pagi waktu tempatan dan membincangkan usaha memperteguh persahabatan Malaysia–Maldives berteraskan nilai Islam, hubungan rakyat serta sikap saling menghormati.

Kerjasama dalam pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan profesional dan pembangunan modal insan bagi membuka peluang kepada generasi muda turut dibincangkan.

Pertemuan bersama Abdul Raheem pula berlangsung pada 11.55 pagi dengan memberi tumpuan kepada usaha mempererat hubungan Parlimen Malaysia dan Majlis Rakyat Maldives melalui pertukaran lawatan, perkongsian pengalaman serta kerjasama di bawah Persatuan Parlimen Komanwel.

Kunjungan hormat daripada Iruthisham Adam pula berlangsung pada pukul 12.05 tengah hari.

Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai momentum positif hubungan Malaysia–Maldives serta peluang khusus dalam perdagangan, pelaburan, pelancongan, industri halal dan ekonomi digital.

Perbincangan turut menyentuh kerjasama memperkukuh ketahanan iklim dan agenda pembangunan mampan, mengambil kira cabaran yang dihadapi Maldives sebagai negara kepulauan kecil sedang membangun.

Kunjungan hormat itu berlangsung selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadiri rangka program rasmi di Pejabat Presiden di Male, termasuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu dan mesyuarat delegasi Malaysia–Maldives.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam serta mengadakan sidang media bersama.

Datuk Seri Anwar berada di Maldives bagi lawatan rasmi dua hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik sejak 1968.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.