
KUALA LUMPUR, 15 September — Malaysia bersedia membantu dan berkongsi keupayaan dengan Maldives dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Percepatan pelaksanaan kemudahan pertukaran mata wang dan penyegerakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives.
- Perluasan kerjasama dalam bidang pendidikan, kesihatan mental dan pemerkasaan orang kurang upaya.
- Sokongan teguh terhadap Maldives menghadapi perubahan iklim serta menegakkan tadbir urus baik, nilai moral dan prinsip Malaysia MADANI.
Beliau berkata, komitmen itu merangkumi usaha mempercepat pelaksanaan kemudahan pertukaran mata wang serta menyegerakan mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Maldives.
Selain itu, kerjasama akan diperluas dalam bidang pendidikan, kesihatan mental dan pemerkasaan orang kurang upaya.
“Sebagai acara terakhir dalam rangka lawatan rasmi ke Maldives, saya dan delegasi Malaysia diraikan dalam Jamuan Negara yang dihoskan oleh Presiden Muizzu.
Dalam ucapan, saya zahirkan penghargaan tertinggi kepada Presiden Muizzu serta Kerajaan dan rakyat Maldives atas persahabatan tulus dan kepercayaan yang diberikan sepanjang kunjungan singkat kami di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Perdana Menteri, Malaysia dan Maldives mungkin negara yang secara relatifnya kecil, namun tidak harus berasa gentar atau rendah diri.
“Dunia hari ini memerlukan negara-negara kecil yang berjiwa besar, berani mempertahankan kebenaran, menjunjung tadbir urus yang baik serta menolak keangkuhan kuasa yang menindas negara lain,”
Beliau turut menyatakan dukungan teguh Malaysia terhadap perjuangan Maldives dalam menghadapi perubahan iklim, yang menurutnya memberi kesan besar kepada negara kepulauan itu walaupun sumbangannya terhadap pelepasan karbon adalah kecil.
Beliau berkata kemajuan dalam kerangka Malaysia MADANI perlu sentiasa disertai ihsan dan kepedulian, selain kemajuan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan yang tetap berteraskan nilai moral, etika dan iman.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia-Maldives akan terus mekar sebagai persahabatan dua negara kecil yang berjiwa besar,” katanya.