
BRNO, 21 Jun– Lagu Negaraku kembali bergema di pentas Moto3 selepas sedekad apabila pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli muncul juara Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, hari ini.
- Menjuarai GP Czech, menamatkan kemarau 10 tahun Malaysia di Moto3 sejak Khairul Idham Pawi (2016).
- Mula dari petak ke-14 selepas penalti kelayakan, bangkit memintas barisan hadapan untuk raih kemenangan sulung musim ini.
- Kejayaan mengukuhkan reputasi beliau sebagai prospek menyerlah dan memberi suntikan semangat baharu kepada sukan permotoran Malaysia.
Kemenangan itu menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk berdiri di podium tertinggi Moto3 sejak Khairul Idham Pawi menjuarai GP Argentina dan GP Jerman pada musim 2016.
Lebih membanggakan, Hakim Danish meraih kemenangan sulungnya musim ini selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa daripada petak ke-14.
Pelumba berusia 18 tahun itu pada asalnya mencatat masa kedua terpantas dalam sesi kelayakan.
Bagaimanapun, beliau dikenakan penalti dan terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas didapati memperlahankan jenteranya di salah satu sektor ketika sesi kelayakan kedua (Q2).
Namun, situasi itu tidak menjejaskan fokus Hakim Danish yang mempamerkan tunggangan cemerlang untuk memintas kelompok hadapan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 33 minit 34.26 saat.
Pelumba Sepanyol, Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua, apabila ketinggalan 0.466 saat.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Marco Quiles melengkapkan podium di kedudukan ketiga dengan perbezaan 0.629 saat di belakang Hakim Danish.
Kejayaan di Brno itu sekali gus mengukuhkan reputasi Hakim Danish sebagai antara prospek paling menyerlah dalam sukan permotoran negara.
Kemenangan tersebut turut memberi suntikan semangat baharu buat Malaysia untuk terus bersaing di peringkat tertinggi perlumbaan motosikal dunia.