
PUTRAJAYA, 22 Jun – Had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan individu yang layak di bawah program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), dengan kuota boleh diguna secara fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi mengikut keperluan masing-masing.
- Had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan, kuota fleksibel untuk pembelian diesel atau RON95 bersubsidi.
- Pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip boleh mohon tambahan 100 liter, jumlah sehingga 300 liter sebulan.
- Kuota boleh dibelanjakan untuk diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter mulai Julai; semak kelayakan di portal BUDI MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu juga memberi fleksibiliti kepada penerima untuk mengurus penggunaan bahan api mengikut keperluan bulanan masing-masing.
“Bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan, bagi kategori itu,”katanya dalam sidang media taklimat pembaharuan BUDI MADANI Diesel.
Beliau turut menjelaskan dianggarkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
Kuota berkenaan boleh digunakan bagi pembelian diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter mulai Julai ini.
“Kelayakan boleh disemak menerusi portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my bermula hari ini,”jelasnya.
Beliau dalam pada itu turut memberitahu, pemilik berdaftar kenderaan diesel di Semenanjung yang layak boleh mula mengaktifkan kemudahan BUDI Diesel bermula Sabtu ini, sebelum pelaksanaan diperluaskan ke seluruh negara pada 1 Julai.
“Pengguna yang layak boleh menggunakan kuota sedia ada untuk pembelian diesel atau petrol, tertakluk kepada baki kuota. Kelayakan itu diberikan kepada pemilik berdaftar kenderaan diesel, sekali gus membolehkan mereka menggunakan subsidi bahan api menerusi mekanisme yang diperkenal kerajaan.
“Mereka juga boleh memilih sama ada untuk mengisi petrol atau diesel mengikut keperluan masing-masing. Jika masih mempunyai baki kuota, ia juga boleh digunakan untuk pembelian diesel di stesen minyak,” katanya.