
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Sebanyak 528 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) beroperasi di seluruh negara dengan enrolmen keseluruhan 78,501 murid setakat 31 Mei lepas.
- KPM komited memperkukuh pendidikan bahasa Tamil melalui Kurikulum Persekolahan 2027, peningkatan kualiti pengajaran, pengukuhan kesusasteraan dan sokongan kepada SJKT.
- Mata pelajaran bahasa Tamil kekal ditawarkan; murid di sekolah tanpa Tamil masih boleh menduduki SPM tertakluk syarat pendaftaran.
- Bagi sekolah kurang murid, KPM laksanakan kelas bercantum, pemindahan lokasi dan pengekalan sekolah; 135 bercantum, 36 diluluskan pindah lokasi.
- Penetapan gred peperiksaan dibuat secara sistematik oleh panel pakar berdasarkan prestasi calon, bukan berdasarkan kuota atau sasaran peratusan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, sebanyak 8,023 calon mendaftar bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023, diikuti 7,925 (2024), 7,693 (2025) dan 7,494 calon baharu bagi tahun ini.
Mata pelajaran bahasa Tamil akan terus ditawarkan dan kekal menjadi sebahagian daripada pilihan mata pelajaran bahasa yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.
Kementerian Pendidikan (KPM) komited memperkukuh pendidikan bahasa Tamil menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027, peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengukuhan kesusasteraan Tamil serta sokongan berterusan kepada SJKT.
“KPM juga ingin menjelaskan bahawa murid yang bersekolah di sekolah yang tidak menawarkan bahasa Tamil masih berpeluang menduduki mata pelajaran itu dalam peperiksaan SPM, tertakluk kepada syarat pendaftaran seperti syarat pendaftaran peperiksaan yang berkuat kuasa,” katanya.
Wong berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau berhubung isu pendidikan nasional, ketelusan Sistem Peperiksaan dan masa depan pendidikan Tamil.
“Antara langkah yang diambil KPM juga adalah memberi sokongan kepada SJKT dari segi sumber infrastruktur latihan guru termasuk memastikan ketersediaan guru yang berkelayakan dan mencukupi.
“Di Johor, terdapat 71 SJKT dengan enrolmen sebanyak 12,906 murid manakala daerah Johor Bahru mempunyai 15 SJKT dengan enrolmen keseluruhan 7,840 murid, dengan empat SJKT di daerah itu mencatat enrolmen tinggi, iaitu SJKT Taman Tun Aminah (1,529 murid), SJKT Ladang Rini (1,055), SJKT Jalan Yahya Awal (890) dan SJKT Masai (768),” katanya.
KPM terus memperkukuh infrastruktur SJKT termasuk pembinaan bangunan baharu bagi SJKT Ladang Rini dan SJKT Kulai Besar yang masing-masing menerima peruntukan RM4.3 juta, yang dijangka dapat menampung tambahan antara 200 hingga 300 murid bagi setiap sekolah.
Pada masa sama, beliau berkata terdapat dua SJKT di daerah Johor Bahru yang mempunyai enrolmen kurang daripada 30 murid, iaitu SJKT Ladang Sungai Plentong.
Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu sekolah kekurangan murid, KPM melaksanakan pelan hala tuju khusus termasuk kelas bercantum, pemindahan lokasi sekolah dan pengekalan sekolah berdasarkan keperluan setempat.
“Sehingga 31 Mei 2026, sebanyak 135 SJKT yang kurang murid melaksanakan kelas bercantum manakala 36 SJKT telah diluluskan untuk pindah lokasi di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau menambah keperluan guru opsyen bahasa Tamil di SJKT adalah sebanyak 1,334 orang, namun pengisian semasa telah mencecah 1,733 orang, sementara bagi sekolah menengah keperluan guru ialah 584 orang dengan jumlah pengisian semasa 648 orang.
Mengenai ketelusan penetapan gred peperiksaan awam berkata keputusan peperiksaan tidak ditentukan berdasarkan kuota atau sasaran peratusan calon yang perlu memperoleh sesuatu gred, sebaliknya dibuat secara sistematik dan profesional berdasarkan tahap penguasaan serta prestasi sebenar calon terhadap kehendak kurikulum, objektif pentaksiran dan standard yang ditetapkan bagi setiap mata pelajaran.
“Dalam proses ini, panel pakar mata pelajaran, pakar kurikulum dan pakar pengukuran pendidikan akan meneliti prestasi calon, ciri-ciri instrumen peperiksaan, kehendak kurikulum serta standard kompetensi sebelum sesuatu sempadan gred ditetapkan.
“Amalan ini adalah pendekatan yang diterima pakai secara meluas dalam sistem peperiksaan antarabangsa yang lain,” katanya.
Sempadan gred boleh berubah mengikut prestasi kohort calon dan ciri instrumen peperiksaan pada sesuatu tahun, selaras dengan amalan yang diterima pakai dalam sistem peperiksaan antarabangsa.