Dewan Rakyat cadang perluas penyertaan kedai runcit jadi rakan niaga SARA

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Kerajaan dicadang memperluas penyertaan kedai runcit kecil terutama di luar bandar dan pedalaman, sebagai rakan niaga program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi mengelakkan kemerosotan perniagaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedai runcit kecil kehilangan pelanggan apabila penerima SARA hanya boleh berbelanja di premis diiktiraf, menjejaskan perniagaan kampung.
  • Syarat kelayakan dan keperluan teknikal dianggap membebankan; perlu latihan, bimbingan dan semakan syarat untuk tingkatkan penyertaan peniaga kecil.
  • Jawatankuasa mengemukakan 17 cadangan termasuk akses 10 kilometer, promosi, penyertaan penjaja pasar tani dan pasar malam, serta pelaksanaan POS terminal.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen, Cha Kee Chin berkata, pihaknya mendapati sebahagian kedai runcit kecil kehilangan pelanggan apabila penerima hanya boleh berbelanja di premis diiktiraf bawah program itu.

“Keadaan tersebut menyebabkan perbelanjaan yang sebelum ini dibuat di kedai runcit kampung beralih kepada pasar raya dan premis yang menerima pembayaran SARA melalui MyKad.

“Jumlah peniaga kecil yang menyertai SARA meningkat kepada 5,893 setakat 16 Jun lalu berbanding kira-kira 3,000 sebelum ini, namun sasaran 10,000 peniaga menjelang akhir tahun ini masih memerlukan usaha tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penerangan berhubung Penyata DR.10 Tahun 2026 iaitu Mekanisme Penyertaan Rakan Niaga dan Agensi Pelaksana dalam program SARA di Dewan Rakyat, hari ini.

Cha Kee Chin yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, syarat kelayakan dan keperluan teknikal untuk menjadi rakan niaga SARA turut dianggap membebankan kerana ramai peniaga kecil tidak menerima latihan dan bimbingan mencukupi.

Jawatankuasa itu mengemukakan 17 cadangan kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan Yayasan MyKasih, termasuk memperluas penyertaan peniaga kecil, menyemak syarat kelayakan serta menyediakan latihan dan bimbingan.

Cadangan lain termasuk memastikan akses kepada kedai rakan niaga SARA dalam lingkungan 10 kilometer, memperhebat promosi program dan mempertimbang penyertaan penjaja pasar tani serta pasar malam.

Pada masa sama beliau turut memaklumkan inisiatif baharu, sistem point of sale (POS) Terminal Deployment mula dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan peniaga kecil di kawasan pedalaman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.