
PUTRAJAYA, 22 Jun – Pelaksanaan program BUDI MADANI Diesel (Budi Diesel) dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan hingga RM2 bilion setahun, sekali gus mengurangkan ketirisan subsidi bahan api.
- BUDI MADANI Diesel menyelaraskan mekanisme subsidi diesel melalui sistem seragam dan pelaksanaan mudah.
- Subsidi disasarkan kepada golongan yang layak sambil menjamin kestabilan bekalan diesel negara.
- Pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter dipulangkan kepada rakyat.
- MyKad dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi digunakan untuk mengurangkan ketirisan dan menumpukan subsidi kepada penerima sebenar, pelaksanaan 1 Julai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan langkah itu bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara menerusi sistem yang seragam dan mudah dilaksanakan.
“Langkah itu juga memastikan subsidi untuk golongan yang layak, selain menjamin kestabilan bekalan diesel dalam negara. Penjimatan itu dipulangkan kepada rakyat menerusi pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter,”katanya dalam sidang media taklimat pembaharuan BUDI MADANI Diesel.
Berdasarkan pembentangan Kementerian Kewangan, harga diesel bersubsidi di Malaysia setakat 18 Jun lepas adalah RM4.37 seliter di Semenanjung dan RM2.15 seliter di Sabah serta Sarawak, jauh lebih rendah berbanding kebanyakan negara serantau.
Sebagai perbandingan, harga diesel di Singapura mencecah RM12.07 seliter, Laos (RM8.79), Indonesia (RM5.62) dan Filipina (RM5.53), sekali gus mewujudkan kegiatan penyeludupan dan ketirisan subsidi.
Di Sabah dan Sarawak sahaja, jumlah diesel yang dijual di stesen minyak sepanjang tahun lalu dianggarkan sebanyak 2.012 bilion liter.
Bagaimanapun, menerusi pelaksanaan BUDI Diesel dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), jumlah penggunaan yang layak menerima subsidi dianggarkan hanya sekitar 1.043 bilion liter setahun.
Daripada jumlah itu, sebanyak 423 juta liter diperuntukkan kepada penerima BUDI Diesel manakala 620 juta liter lagi melibatkan pengguna di bawah sistem SKDS.
Perbezaan sebanyak 969 juta liter antara jumlah jualan diesel semasa dengan anggaran penggunaan yang layak menerima subsidi dijangka membantu mengurangkan ketirisan serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada kumpulan sasar.
Pembaharuan BUDI MADANI Diesel yang bakal dilaksana sepenuhnya mulai 1 Julai ini menggunakan MyKad sebagai instrumen utama penyasaran subsidi bertujuan memastikan hanya rakyat yang layak menikmati diesel pada harga bersubsidi.