
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bandar Tasik Selatan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), yang akan beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari, merupakan cawangan pertama di Kuala Lumpur yang beroperasi tujuh hari seminggu.
- Pejabat baru di TBS dipilih kerana lokasi strategik, kemudahan parkir luas, akses pengangkutan awam serta ruang komersial dan kemudahan makanan.
- Menggantikan pejabat Bandar Sri Permaisuri; kapasiti meningkat kepada 1,700 pelanggan sehari daripada 1,300, dijangka mengurangkan kesesakan cawangan lain.
- Integrasi kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan MyDigital ID bagi memperbaiki pengalaman pengguna dan memendekkan masa menunggu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan awam dengan membawa perkhidmatan JPJ lebih dekat kepada rakyat di lokasi tumpuan orang ramai.
“Pemilihan lokasi ini dibuat kerana kedudukannya yang sangat strategik. Selain mempunyai kemudahan parkir yang luas, ia juga mudah diakses melalui pengangkutan awam. Tambahan pula, TBS bukan sekadar menjadi hab pengangkutan awam, malah turut menyediakan ruang komersial, kemudahan makanan dan pelbagai perkhidmatan lain.
“Kemudahan seperti ini mampu meningkatkan pengalaman pengguna, sekali gus memastikan masa menunggu dapat dimanfaatkan dengan lebih baik tanpa perlu berdepan tempoh menunggu yang lama atau kesesakan dalam urusan.
“Konsep sebegini sememangnya amat dihargai dan menjadi antara usaha untuk memperluaskan penyediaan pejabat-pejabat moden pada masa akan datang,” katanya selepas merasmikan Pejabat baharu JPJ cawangan Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.
Tambahnya, Pejabat JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan menggantikan pejabat di Bandar Sri Permaisuri (BSP) yang telah beroperasi sejak tahun 2006.
Dengan jumlah kehadiran mencecah 1,300 pelanggan setiap hari, pejabat di BSP berdepan kekangan ruang, kemudahan yang terhad serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan JPJ menjadikan ianya tidak lagi kondusif kepada pelanggan.
Bagaimanapun, kapasiti perkhidmatan cawangan Bandar Tasik Selatan mampu mencapai sehingga 1,700 pelanggan sehari dan dijangka membantu mengurangkan kesesakan di cawangan JPJ lain.
Cawangan ini turut mengintegrasikan pelbagai kemudahan digital termasuk kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID.